KOTA BHARU 3 Okt. – Pengasas Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Datuk Adnan Hashim mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM4.3 juta.
Pada 23 September lalu, Mahkamah Sesyen mengarahkan tiga defendan iaitu Adnan, pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham dan syarikat van, Ct-one Corporation Sdn. Bhd membayar keseluruhan ganti rugi tersebut kepada bekas pelajar tahfiz, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd. Izahir, 18, yang disahkan lumpuh akibat kemalangan tahun lalu.
Permohonan itu difailkan melalui peguam perayu, Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah dan Azman di kaunter pendaftar mahkamah itu pada pukul 10.30 pagi yang dihadiri sendiri Adnan.
Adnan ketika ditemui berkata, pihaknya menerima keputusan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini serta mengikut langkah dan prosedur undang-undang bagi mengemukakan rayuan tersebut.
“Kita mengemukakan rayuan ini dengan harapan dapat menggugurkan saman tersebut. Ini kerana, jumlah tuntutan yang diputuskan terlalu tinggi dan perkara-perkara lain yang kita hendak rayu itu akan diperincikan dalam mahkamah nanti,” jelasnya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya tidak pernah lepas tangan dalam membantu bekas pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu.
“Rawatan semasa di hospital untuk pembedahan kita tanggung sekitar RM20,000 dan ada juga sumbangan dari pihak lain ketika itu.
“Selepas keluar dari hospital, kita bagi bantuan dari semasa ke semasa termasuklah bagi rumah khas di maahad tahfiz itu,” katanya. –UTUSAN ONLINE










