KUALA LUMPUR 16 Okt. – Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin dilihat membuat pusingan-U selepas memuat naik status di laman Facebook miliknya semalam mengatakan tajuk laporan berita Utusan Malaysia berhubung isu warna stoking sebagai sangat mengelirukan pembaca.

Dalam statusnya yang turut berkongsi laporan berita Utusan Malaysia malam tadi, Tunku Kamarul Zaman ‘mengesahkan’ Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik tidak langsung menyebut malah tiada sebarang perbincangan mengenai warna stoking dengan pihak PPUM.
Selain itu, beliau juga mengatakan potensi pengajaran dan penyelidikan cemerlang di PPUM untuk memberi perkhidmatan terbaik sepatutnya diberi perhatian untuk ditekankan dalam laporan akhbar, bukannya isu mengenai warna stoking.
Namun begitu, hari ini, Tunku Kamarul Zaman berkongsi pula beberapa laporan agensi berita lain mengenai isu warna stoking, sama seperti yang dibangkitkan Utusan Malaysia.
Beberapa laporan agensi berita lain termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Berita Harian, The Sun Daily dan portal berita Free Malaysia Today turut menyentuh isu pemakaian warna stoking yang akan diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.
“Beberapa laporan berita daripada agensi berita lain berhubung isu yang dibangkitkan susulan lawatan Maszlee ke PPUM semalam.
“Lebih baik jika semua laporan berita dapat menumpukan kepada lawatan ke hospital berbanding isu stoking ini,” katanya dalam status Facebook miliknya hari ini.
Semalam, Maszlee dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan mengejut ke Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memberitahu isu mengenai warna stoking akan diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.
Isu berkenaan timbul selepas dibangkitkan Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin yang mahu kementerian memberi penjelasan sama ada warna stoking putih oleh murid dan pelajar sekolah terlibat turut ditukar kepada warna hitam selaras dengan penguatkuasaan pemakaian kasut hitam nanti. – UTUSAN ONLINE










