LAHAD DATU – Taktik licik seorang penganggur menggaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah dipercayai syabu seberat 51,917 gram bernilai RM2.5 juta di dalam bungkusan plastik warna kuning keemasan bercetak tulisan Daguanyin terbongkar apabila dia ditahan di kawasan parkir di Bandar Sri Perdana di sini pada Rabu lalu.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan ketika mengeluarkan sebuah beg berwarna merah jambu dari tempat duduk belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux pada pukul 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, menyedari kehadiran pihak polis lelaki tempatan itu cuba melarikan diri namun, berjaya ditangkap selepas berlakunya pergelutan.
“Hasil pemeriksaan terhadap beg tersebut kami menemui 25 bungkusan plastik warna kuning keemasan tertera cetakan tulisan Daguanyin yang mana di dalamnya berisi ketulan hablur jernih dadah jenis syabu.
“Selain itu, pasukan bertugas turut menjumpai sebuah beg bercorak bunga berwarna hitam putih mengandungi 25 bungkus plastik yang sama berisi syabu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sini hari ini.
Tambah Nasri, susulan penahanan lelaki itu pihak polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada bekalan dadah terbabit adalah untuk pasaran tempatan atau dieksport ke luar negara.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula pada 4 Oktober lalu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 7akta sama (perlucutan harta) 1988. – K! ONLINE











