PETALING JAYA 18 Okt. – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meragut rantai leher milik seorang kelindan lori dengan menggunakan kunci motor, dua minggu lalu.
N. Josiah Marshall, 20, didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah apartmen, di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai dekat sini kira-kira pukul 1 pagi, 7 Oktober lalu. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan terhadap S. Angeswaran, 21, dengan melarikan rantai emas menggunakan senjata kunci motor sehingga menyebabkan kecederaan ke atas mangsa. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd. Halim tidak menawarkan sebarang jaminan sementara peguam K. Syama Sundar yang mewakili Josiah Marshall memohon jumlah jaminan yang minimum diberikan ke atas anak guamnya.
Hakim Hilmiah Yusof bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dan ahli keluarga tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan selain menetapkan 22 November ini untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE










