BUKAN mudah untuk mengemudi sebuah kapal layar. Jika tersilap, layar patah dan bahtera akan terumbang-ambing lalu tenggelam dihempas gelombang.
Itu ungkapan untuk menggambarkan bagaimana besarnya peranan si nakhoda dalam menentukan hala tuju sesebuah pelayaran.
Begitulah juga dengan apa yang bakal berlaku pada malam Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31) yang akan berlangsung pada malam ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Jika tersilap percaturan, mahu sahaja acara yang berprestij itu bertukar menjadi suram dan kelam.
Itu yang dirisaukan oleh pelakon dan penyanyi, Janna Nick apabila diminta menggalas tanggungjawab sebagai pengacara pada acara berprestij tersebut memandangkan berasa dirinya masih mentah dalam bidang berkenaan.
Pada peringkat awal, dia menolak tawaran itu kerana bimbang menerima kritikan daripada netizen.
“Pada mulanya, apabila ditawarkan menjadi salah seorang hos untuk acara malam ini, saya menolaknya kerana berasa diri ini tidak layak.
“Bukan apa, saya baru sembilan bulan bergelar pengacara, itu pun untuk program Melodi yang bersiaran seminggu sekali. Tiba-tiba diminta jadi hos untuk anugerah berprestij. Saya risau dengan kritikan dan pandangan orang nanti,” jelasnya.
Peluang
Bagaimanapun, selepas berfikir panjang, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menerima peluang tersebut kerana berasakan ia hanya datang sekali sahaja.
“Saya tidak rasa peluang ini akan datang berkali-kali. Justeru, saya menerimanya.
“Lagipun, pengacara yang berpengalaman pun masih menerima kritikan netizen. Saya perlu bermula dengan sesuatu yang sukar untuk jadikan karier dalam bidang pengacaraan lebih mudah,” ujarnya.
Malah, menurut gadis berusia 23 tahun ini lagi, dia menjadikan tawaran itu sebagai satu cabaran buat dirinya dan berjanji, dia bersama-sama gandingannya iaitu Ajak dan Zara Zya akan melakukan yang terbaik pada malam ini.
Mengendalikan program Melodi bersama Ajak di TV3, ada sahaja perkara yang dilemparkan netizen kepada dirinya.
Tenang menjawab persoalan, Janna menjelaskan, dia menerima segala pandangan netizen terhadap dirinya.
“Saya pun terkadang pelik, untuk Melodi, saya masih dikritik dan boleh dikatakan belum cukup matang dalam bidang pengacaraan. Kalau diibaratkan bayi yang berumur sembilan bulan, dia baru sahaja boleh nak merangkak dan mula untuk bangun.
“Pada masa sama, saya pun terfikir kalau saya teruk, takkan pihak produksi atau stesen televisyen mengambil risiko dengan membuat tawaran sebagai pengacara untuk acara malam ini.
“Mungkin mereka cuma bagi saya peluang. Bagi saya, pengalaman sebegini mengajar diri ini untuk menjadi pengacara lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.
Berbakti
Alang-alang bersemuka dengan pelakon berbakat besar ini, Janna ditanya mengenai tindakannya yang melancarkan perkhidmatan Wish Service by Janna Nick.
Ia adalah perkhidmatan ucapan di laman sosial seperti Instagram dan mengenakan bayaran sebanyak RM50.
Menurut Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannnah Muner, dia menerima kecaman hebat dan salah faham dalam kalangan netizen yang menyangka perkhidmatan itu untuk kepentingan peribadinya.
Bagaimanapun, Janna menjelaskan, perkhidmatan ucapan itu sebenarnya untuk mengumpul dana ke tabung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wish For Their Hope.
Ditanya mengenai tindakannya yang tidak menjelaskan perkara sebenar kepada orang ramai pada awalnya seolah-olah sengaja meminta untuk dikecam, Janna menjawab dengan tenang.
“Memang kita mahu mengundang kecaman kerana mahu dapatkan perhatian. Kalau kita sebarkan dengan cara baik, orang tidak menguar-uarkan tentang wujudnya perkhidmatan ini untuk membantu orang yang memerlukan.
“Apabila mengambil pendekatan begini, ia memberikan impak yang cukup besar. Malah, sekarang banyak jenama dan label yang besar menghubungi saya kerana mahu berkolaborasi,” ujarnya.
Terus bersemangat untuk berbakti kepada golongan memerlukan, kata pelantun lagu Mungkin Saja ini, dia akan meneruskan usaha untuk menguruskan perkhidmatan ucapan tersebut.
“Saya tetap akan teruskan perkhidmatan ini dan apabila bercakap mengenai NGO, terserah kepada peminat, pengikut atau sesiapa sahaja yang rasa mahu menyumbang dana.
“Mereka juga boleh memberikan sumbangan meskipun tanpa meminta saya untuk merakamkan ucapan,” jelasnya yang berharap agar lebih ramai selebriti yang turut serta untuk sama-sama membantu mereka yang kurang bernasib baik.











