PULAU PINANG 13 Okt. – Pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa lebuh raya tanpa tol di negara ini tidak mungkin wujud membuktikan bahawa manifesto Pakatan Harapan (PH) satu penipuan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, kenyataan Perdana Menteri itu juga menunjukkan manifesto berkenaan hanya mimpi indah yang tidak mungkin dapat dinikmati seperti dijanjikan PH ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Katanya, perkembangan terbaharu itu juga telah mengelirukan rakyat sehingga mereka terperdaya dan mengundi PH.
“Kini telah terbukti bahawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) dahulu jauh lebih baik kerana bersandarkan fakta dan realiti,” katanya.
Semalam, Dr. Mahathir menjelaskan, lebuh raya tanpa tol di negara ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dan jika mahukan laluan percuma, kerajaan mungkin terpaksa menaikkan harga minyak.
Pada masa sama, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak bersetuju sejak dari awal tentang cadangan memansuhkan tol kerana lebuh raya memerlukan kos penyelenggaran.
Mengulas lanjut, Mohd. Norhiesam berkata, BN tidak menawarkan lebuh raya percuma kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyedari janji PH berhubung perkara itu serta memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan membawa negara berhutang hampir RM 1 trillion.
“Justeru itu, Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal mendesak supaya PH memohan maaf kepada rakyat kerana telah memberi mereka harapan palsu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











