KLANG – Penduduk di 10 kawasan sekitar daerah ini dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan fenomena air pasang besar yang dijadual berlaku kira-kira pukul 6 pagi esok.
Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, antara 10 kawasan yang telah dikenalpasti berisiko tinggi dilanda banjir akibat fenomena berkenaan adalah Kampung Tok Muda, Kampung Perepat, Pelabuhan Klang, Kampung Sungai Keramat dan Sementa.
“Kawasan ini dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk dinaiki air sekiranya fenomena air pasang besar pagi esok disertai dengan ribut dan hujan lebat.
“Jadi saya ingin nasihatkan penduduk di kawasan ini agar berhati-hati dan tidak melakukan sebarang aktiviti berhampiran dengan laut,” katanya kepada pemberita di sini selepas melakukan tinjauan di beberapa ban di sekitar daerah ini hari ini.
Menurut Mohd Zainal, kira-kira 120 anggota keselamatan terdiri daripada pihak polis, jabatan bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Daerah Klang telah bersiap-sedia untuk sebarang kemungkinan termasuk memindahkan mangsa yang terjejas. – Bernama









