MUKADIMAH
MENTERI Kabinet sememangnya mempunyai tanggungjawab besar dalam urus tadbir negara, namun sejak akhir-akhir ini kenyataan beberapa menteri sering mencetuskan kontroversi sehingga menjadi bahan kecaman netizen dalam media sosial.
Berdasarkan pengalaman lebih 40 tahun sebagai wakil rakyat dan berada dalam barisan Jemaah Menteri, TAN SRI DR. RAIS YATIM yang kini merupakan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan meluahkan pandangan ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, AFIQ MOHD. SHAH mengenai prestasi Menteri Kabinet selepas kira-kira lima bulan Pakatan Harapan mentadbir negara.

UTUSAN: Berdasarkan pengalaman, apakah penilaian Tan Sri terhadap prestasi kesemua Menteri Kabinet kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh lima bulan selepas menerajui negara. Adakah Tan Sri berpuas hati dengan prestasi mereka setakat ini?
RAIS YATIM: Tempoh lima bulan bagi menteri belajar mengenai bidang dan kementerian masing-masing sebenarnya sudah cukup, tetapi mereka dilihat masih mengamalkan pendekatan berbaur pembangkang. Mereka agak lemah dalam isu-isu berkaitan manifesto dan dasar-dasar yang seharusnya ditonjolkan dan diperjuangkan. Misalnya dalam aspek pendidikan negara, isu terpenting adalah pembinaan sahsiah atau character building, bukan kasut hitam dan stoking yang hendak dipakai. Malah, huraian tentang manifesto juga agak kabur. Beberapa laporan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kurang berpuas hati dengan prestasi Kabinetnya sangat difahami.
Pandangan Tan Sri apabila ada menteri mengeluarkan kenyataan kontroversi sekali gus tular dan menjadi bahan ejekan rakyat?
Kebanyakan menteri nampak tidak menghuraikan isu-isu pokok dalam kementerian mereka. Sebagai contoh, isu Kementerian Pendidikan terus menjadi ejekan. Lebih baik jika soal dasar yang berkait rapat dengan manifesto sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 didahulukan. Pendirian remeh terhadap manifesto akan dikritik secara berterusan. Misalnya beberapa bilion ringgit yang dikutip melalui cukai jalan, mengapa tidak kaitkan dengan nisbah bagi penurunan harga tol.
Begitu juga soal urus niaga tol yang dikongsi bersama syarikat milik kerajaan (GLC) tidak dihuraikan sebaiknya. Nampak seperti tidak ambil berat tentang betapa pentingnya isu perpaduan dan budaya yang tinggi.
Adakah ini berpunca daripada kurangnya pengalaman urus tadbir atau ada sebab lain?
Kekurangan pengalaman boleh diatasi jika setiap menteri mempunyai kesungguhan memahami kementerian masing-masing. Rasanya amat penting panel penasihat dan latihan juga diberi kepada ketua setiausaha dan pegawai tinggi supaya mereka tahu bagaimana untuk menjayakan manifesto kerajaan. Pada hemat saya, ramai pegawai tinggi tidak begitu faham bagaimana mahu menterjemahkan dasar utama. Pegawai juga mesti berani menasihatkan menteri dalam hal-hal yang menjadi keutamaan kementerian. Masalah melantik seseorang menteri tanpa melalui proses ‘naik dari bawah’ juga bahaya. Situasi si kudung dapat cincin mudah berlaku dan rakyat akan menjadi mangsa.
Adakah Kabinet kali ini dilihat lemah?
Saya tidak harus mengatakan Kabinet Pakatan Harapan sebagai lemah kerana banyak juga perkara baik telah dilakukan. Azam membanteras rasuah tampak berkesan dan harus dipuji. Keikhlasan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mewujudkan kerajaan bersih dan bebas daripada salah guna kuasa juga terserlah. Cuma saya dapati isu-isu yang membebani rakyat dari segi periuk nasi, barang mahal dan juga kekaburan mengenai pemahaman dan penerimaan rakyat terhadap cukai jualan dan perkhidmatan (SST) masih menjadi cabaran.
Kita maklum skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sahaja sudah memudaratkan ekonomi dan kewangan negara. Tapi kalau ini sahaja yang dilaungkan saban hari lama-lama akan mewujudkan tabii menyalahkan orang lain. Budaya mentadbir cara baharu amat diperlukan termasuk melatih ahli-ahli Parlimen yang kurang beradab di Dewan Rakyat. Diharapkan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memperbetulkan perkara ini termasuk mewujudkan skim latihan budaya tinggi dalam kalangan ahli Parlimen dan menteri. Tentunya Dr. Mahathir perlu bertegas soal disiplin menteri, tetapi ini tidak mudah dilakukan kerana parti beliau kecil dan bilangan ahli Parlimen dari parti beliau juga tidak besar seperti PKR dan DAP.
Apa nasihat Tan Sri kepada Jemaah Menteri dalam menjalankan tugas demi kebaikan rakyat?
Mereka perlu mematuhi garis panduan anggota pentadbiran yang digubal Dr. Mahathir sebelum 2003, sudah cukup syarat dan petua sebagai anggota Kabinet. Saya juga berpandangan Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969 perlu dipinda supaya dapat membidangi tugas dan fungsi sebenar seseorang Menteri Kabinet. Peruntukan dalam akta itu kini terhad kepada hanya olahan nama kementerian, pemindahan tugas dan fungsi serta hal-hal yang sudah tidak berapa relevan lagi. Misalnya apa erti arahan dasar? Apa jadi jika sesuatu dasar yang menterjemahkan manifesto tidak diendahkan? Apa salahnya jika timbalan menteri diberi ruang menghadiri mesyuarat Kabinet apabila menteri tidak dapat hadir?
Kenapa Setiausaha Parlimen tidak dilantik bagi Kementerian tertentu sebagai lapisan sokongan kepada Kabinet? Perkara ini penting kerana negara tidak mampu menggajikan 1.4 juta penjawat awam yang 90 peratus anggotanya daripada satu kaum sahaja. Perlu digaulkan agar ada proses pertukaran budaya dan kerja sama seperti zaman pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dahulu.










