KUALA LUMPUR 19 Okt. – Pendakwaan kira-kira 45 pertuduhan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pagi ini tidak akan melunturkan semangat ahli-ahli parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hal ini kerana pertuduhan yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilihat lebih terarah kepada pendakwaan terpilih dan bersifat politik.
Menurut beliau, ahli melihat sosok tubuh yang dizalimi itu bukan hanya sebagai Ahmad Zahid tetapi seorang Presiden yang selayaknya dibela.

“Bagi kita yang dituduh ini bukan Ahmad Zahid tetapi yang dituduh ini Presiden UMNO. Jadi tanggungjawab kita sebagai ahli UMNO untuk menyokong pemimpin kita.
“Jadi sebab itulah ramai yang datang dari seluruh negara. Saya rasa bukan sahaja tidak menjejaskan tapi lebih menaikkan semangat ahli parti. Kerana ahli parti menganggap ini merupakan satu pendakwaan terpilih dan pendakwaan politik,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau dijangka berhadapan kira-kira 45 pertuduhan berjumlah lebih RM10 juta di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wan Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Sebelum ini, beliau telah menerima notis untuk hadir ke SPRM dipercayai berhubung siasatan penyelewengan dana yayasan milik keluarganya iaitu Yayasan Akal Budi. – UTUSAN ONLINE










