JAKARTA 13 Okt. – Malaysia menamatkan cabaran Sukan Para Asia 2018 dengan meraih 17 pingat emas, mengatasi pencapaian terbaik sebelumnya yang dilakukan di Incheon, Korea Selatan pada 2014.
Selepas mencapai sasaran 15 pingat emas semalam, atlet ‘istimewa’ negara meraih dua lagi emas dalam acara lumba basikal hari ini.
Ratu lumba basikal negara Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zaid, 20, meraih emas ketiganya menerusi acara trek wanita kategori B, selepas menyumbang dua emas dalam acara kejar mengejar individu wanita 3,000m dan lumba lebuh raya kategori B wanita sebelum ini.
Emas kedua hari ini atau ke-17 untuk negara diraih Muhammad Afiq Afify Rizan dalam acara trek lelaki B 1km yang juga berlangsung di Velodrom Antarabangsa Jakarta.
Malaysia menamatkan cabaran Sukan Para Asia 2018 di kedudukan kelapan dengan meraih 17 emas, 26 perak dan 25 gangsa. Dalam Sukan Para Asia di Incheon 2014, Malaysia memperoleh 15 emas, 20 perak dan 27 gangsa.
Dalam Jakarta 2018, Malaysia meraih emas menerusi olahraga (lapan), basikal (lima), boling (dua), renang (satu) dan pingpong (satu).
Skuad olahraga bukan sahaja menjadi penyumbang pingat terbanyak tetapi turut gemilang dengan kejayaan dua atletnya Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Puzi mencatatkan dua rekod baharu dunia.
Abdul Latif mencatatkan rekod baharu dunia 7.64m dalam acara lompat Jauh T20 (lemah pembelajaran) manakala Mohamad Ridzuan mencatatkan rekod baharu dunia 11.87s dalam acara lari 100m T36 (cerebral palsy).
Malaysia menyertai 15 daripada 18 acara sukan yang dipertandingkan.
Sukan Para Asia 2018 disertai 43 negara yang dirasmikan Presiden Joko Widodo pada 6 Oktober lepas dan ditutup secara rasmi oleh Naib Presiden Jusuf Kalla di Stadium Madya, Kompleks Gelora Bung Karno, pukul 7 malam ini. – BERNAMA











