Penampilan sulung Nong Rose di Malaysia bulan depan - Utusan Malaysia

Penampilan sulung Nong Rose di Malaysia bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 17 Okt. – Atlet transgender Muay Thai terkenal Thailand “Nong Rose” atau nama sebenarnya, Somros Bancharoensuk bakal membuat penampilan sulungnya di Malaysia dalam kejohanan “Z1 Royal Kedah World Muay Thai Challenge ke-9” bulan depan.

Kejohanan yang akan menampilkan 28 atlet Muay Thai seluruh dunia itu akan berlangsung di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), Pulau Langkawi dari 30 November hingga 1 Disember ini.

“Kejohanan akan melibatkan penyertaan 28 atlet Muay Thai daripada 10 buah negara termasuk Malaysia. Kita menjangkakan kehadiran 5,000 penonton, ” kata pengasas kejohanan Zahari Ahmad Razali kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau ditemui selepas menandatangani perjanjian dengan “Nong Rose” dan pihak  pengurusannya bagi membolehkan atlet berusia 21 tahun itu beraksi di Pulau Langkawi bulan depan.

“Nong Rose” yang disifatkan sebagai suatu fenomena dalam dunia sukan Muay Thai di Thailand dan antarabangsa bukan sahaja bakal menarik penonton menyaksikan kejohanan itu, tetapi mempopularkan lagi sukan mempertahankan diri itu di Malaysia, menurutnya.

Zahari yang juga merupakan pengarah teknikal kejohanan berkata, kejohanan selama tiga hari itu mendapat pengiktirafan daripada World Muay Thai Council dan Persatuan Muay Thai Malaysia.

Bercakap kepada Bernama menerusi penterjemah, “Nong Rose” yang mengenakan solekan dan dandanan sebelum beraksi di pentas pertandingan berkata amat teruja untuk beraksi buat pertama kali di Pulau Langkawi dan Malaysia.

“Saya amat gembira untuk beraksi buat pertama kali di Malaysia,” kata “Nong Rose.”

Walaupun memiliki perwatakan lemah-lembut, beliau yang mula menceburi sukan Muay Thai sejak berusia lapan tahun telah bertarung lebih 300 perlawanan menentang atlet Muay Thai lelaki dan memenangi sebahagian besar perlawanan terbabit menerusi keputusan “knockout.”

Pada awal tahun, beliau turut membuat penampilan ulung pada kejohanan Muay Thai di Eropah.

Menurut Zahari, bukan sesuatu yang mudah untuk mencari atlet Muay Thai lelaki yang setanding dengan “Nong Rose”, tetapi mereka menjanjikan lawan yang setara untuk bersaing  dengan personaliti sukan Thailand itu.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN