Pemilik pusat sukan paintball didakwa cederakan keluarga Orang Asli - Utusan Malaysia

Pemilik pusat sukan paintball didakwa cederakan keluarga Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Seorang pemilik sebuah pusat rekreasi sukan paintball mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini atas pertuduhan mencederakan empat beranak Orang Asli dengan menolak badan, menumbuk dan mencekik leher mangsa, bulan lalu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Roslim Abu, 55, didakwa dengan sengaja mencederakan Rogayah Mohamed, 52, dan tiga anaknya, Rohaizad Shah Mohd. Shahbi Burok, 33, Mohd. Nizar, 32, dan Nurul Najihah, 21.

Ketika kejadian, tertuduh didakwa menolak belakang badan Rogayah, menumbuk muka Rohaizad Shah, menumbuk mulut Mohd. Nizar dan mencekik leher Nurul Najihah di tepi jalan Kampung Orang Asli Bukit Lagong, Kilometer 16 Hutan Lipur, Jalan Bukit Idaman, Batu Caves dekat sini pada pukul 10.55 pagi, 10 September lalu.

Roslim didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin mencadangkan jaminan RM5,000 bagi kesemua pertuduhan manakala peguam Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff yang mewakili Roslim memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung tiga anak dan menghidap penyakit darah tinggi.

“Malah, isteri anak guam saya menghidap kanser sejak tahun 2011 dan turut hadir pada hari ini untuk membayar jamin,” katanya.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan kes.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila tertuduh marah selepas pokok yang ditebang oleh mangsa sekeluarga termasuk ke dalam kawasan tanahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN