MELAKA – Pemilihan PKR di Melaka dijadual berlangsung esok menyaksikan 9,387 anggota parti layak mengundi bagi memilih barisan pemimpin di peringkat pusat dan enam cabang di negeri ini.
PKR Melaka dalam kenyataan berkata, terdapat kira-kira 30,000 anggota PKR di negeri ini dan pemilihan bagi cabang Jasin akan diadakan di Dewan MPJ, Lipat Kajang; cabang Alor Gajah di Kompleks Japerun Machap; Cabang Tangga Batu di Dewan Seminar Stadium Hang Jebat, Krubong; cabang Masjid Tanah di Dewan Tan Sri Abu Seman, Paya Rumput; cabang Bukit Katil di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh; dan cabang Kota Melaka di Dewan Japerun DUN Kesidang, Batu Berendam.
Menurut laman web pemilihan PKR (www.pemilihankeadilan2018.com), Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bertanding satu lawan satu bagi jawatan Ketua Cabang Jasin menentang Zulkefly Osman.
Shamsul Iskandar, juga Pengerusi PKR Melaka dan Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya, mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR di peringkat pusat menentang 11 calon lain. – Bernama










