Pembunuhan dirancang lebih awal – Erdogan - Utusan Malaysia

Pembunuhan dirancang lebih awal – Erdogan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA 23 Okt. – Presiden Turki, Recey Tayyip Erdogan mende­dah­kan­ bahawa pem­bunuhan wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi pada 2 Oktober lalu, telah dirancang beberapa hari lebih awal.

Turki mempunyai bukti ku­kuh bahawa pembunuhan itu dirancang dan Jamal dibunuh dengan ganas di bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul, kata Erdogan ketika berucap di hadapan anggota Parti Pem­bangunan dan Keadilan (AKP) di Parlimen.

Erdogan mahu suspek yang terlibat didakwa di Istanbul selain meminta Arab Saudi memberitahu di mana mayat Jamal dan siapakah yang mengarahkan pembunuhan ber­kenaan.

Terdapat laporan mendakwa bahawa beberapa anggota badan Jamal telah ditemukan dalam sebuah perigi di tingkat bawah konsulat Arab Saudi.

Erdogan menjelaskan sistem kamera keselamatan litar tertutup di bangunan konsulat itu telah dimatikan dan ra­kaman menunjukkan Jamal tidak me­ninggalkan bangunan ber­kenaan ketika hari kejadian.

Beliau menambah, seorang lelaki mirip Jamal atau pelanduk dua serupa me­ninggalkan Istanbul untuk menaiki pe­nerbangan ke Riyadh pada hari pembunuhan itu.

Berdasar rakaman diperoleh secara eksklusif itu, lelaki itu dilihat keluar dari konsulat itu melalui pintu belakang berpakaian seperti Jamal, berjanggut palsu dan bercermin mata.

Lelaki itu dikenal pasti sebagai Mustafa al-Madani dan didakwa antara sebahagian lelaki bersama pasukan pembunuh warga Arab Saudi.

Erdogan berkata, tiga pasukan terdiri daripada 15 warga Arab Saudi tiba di Istanbul dalam penerbangan berasingan sebelum pembunuhan itu.

Sehari sebelum kejadian itu, tiga daripada mereka mengunjungi hutan Belgrad berdekatan konsulat, iaitu tempat tumpuan polis Turki mencari mayat Jamal.

Erdogan mahukan sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat kes ber­kenaan.

Di Riyadh, Kabinet Arab Saudi bersedia untuk menahan dan menghukum sesiapa sahaja yang terlibat.

“Kabinet akan menghukum mereka yang gagal melaksanakan tugasnya, tanpa mengira sesiapa,” kata kenyataan yang dipetik agensi berita SPA.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Raja Salman meng­adakan pertemuan dengan anggota keluarga Jamal termasuk anaknya, Salah Jamal Khashoggi. Turut hadir, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamed Salman.

Di Jakarta, Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir me­negaskan pembunuhan pengkritik kerajaan seperti Jamal tidak akan berulang lagi dan pihak­nya komited untuk mela­kukan ‘siasatan menyeluruh’ berhubung kematiannya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat dengan rakan sejawatnya di ibu kota Indonesia, hari ini.

Komen itu dibuat Adel su­sulan temu bual beliau bersama Fox News, kelmarin dan pe­mimpin itu menyalahkan operasi ‘ganas’ oleh individu melampaui tanggungjawab mereka dan kemudian cuba menutupi kesilapan itu.

Dalam perkembangan yang sama, Straits Times memetik sumber tertinggi Riyadh melaporkan, seorang pegawai kanan Arab Saudi yang dipecat dan juga pembantu tertinggi Putera Mahkota Arab Saudi, Saud al-Qahtani didakwa mendalangi pembunuhan Jamal.

Katanya, Saud dipanggil untuk menyaksikan penahanan Jamal menerusi aplikasi Skype sebelum menghina Jamal dan wartawan itu sempat membalas cercaan pegawai ber­kenaan.

Menurut sumber Turki, pada satu ketika Saud mengarahkan pasukan pembunuh itu menghapuskan Jamal.

“Bawakan saya kepala anjing itu,” kata sumber risikan Turki yang memetik arahan Saud.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan jika Saud menyaksikan keseluruhan proses pembunuhan yang didakwa pe­mimpin tertinggi Riyadh sebagai operasi kejam. – AFP/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN