PORT DICKSON – Menteri Besar, Aminuddin Harun menafikan kerajaan negeri menyediakan wang tunai RM200 kepada warga emas kaum India sempena Hari Deepavali seperti yang tular dalam media sosial.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, perkara itu adalah tidak benar dan direka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Perkara itu tidak benar dan tidak ada sumbangan seperti yang didakwa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Insan Terbilang Negeri Sembilan di Lukut di sini, petang tadi.
Beliau mengulas penyebaran mesej yang meminta warga emas kaum India berusia 60 tahun ke atas di Negeri Sembilan mendapatkan wang tunai menerusi program Deepavali Angpau RM200 yang didakwa disediakan kerajaan PH.
Warga emas yang layak diminta menghubungi wakil rakyat, penyelaras Dewan Undangan Negeri dan ketua kampung kononnya bagi mendapatkan wang tersebut.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan menyediakan bazar sempena Hari Deepavali dan hasil keuntungannya akan disalurkan kepada 61 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil di negeri ini. – K! ONLINE










