Pemangku Raja Kelantan ziarah keluarga anggota bomba yang terkorban - Utusan Malaysia

Pemangku Raja Kelantan ziarah keluarga anggota bomba yang terkorban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS – Pemangku Raja Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Faiz Petra hari ini berkenan berangkat menziarahi keluarga dua anggota penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terkorban dalam tragedi di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong kelmarin.

Baginda berkenan menziarahi keluarga Allahyarham Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, di Kampung Lubok Setol, Rantau Panjang dan kemudiannya keluarga Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, di Kampung Kubang Terap di sini.

Sempena keberangkatan itu, baginda berkenan menyampaikan Sumbangan Diraja kepada kedua-kedua keluarga terbabit.

Baginda turut menzahirkan perasaan yang amat sedih dan terharu dengan kematian enam anggota PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam tragedi tersebut.

Baginda mengucapkan takziah kepada keluarga dan berdoa semoga roh mereka ditempatkan bersama para syuhada dan orang yang beriman.

Sementara itu, bapa Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik, Shaari Awang, 58, berkata, kunjungan Pemangku Raja Kelantan itu adalah penghargaan yang amat besar kepada Allahyarham anaknya atas jasa dan perkhidmatannya kepada masyarakat.

“Sebagai ayah, sudah tentu kunjungan baginda menjadi kebanggaan kami sekeluarga walaupun Allahyarham sudah tiada kerana pengorbanan arwah mendapat penghormatan dan penghargaan daripada pemimpin nombor satu negeri ini,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN