Pemandu teksi maut terlibat kemalangan babit 3 kenderaan - Utusan Malaysia

Pemandu teksi maut terlibat kemalangan babit 3 kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Seorang pemandu teksi maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) menghala ke pusat bandar berhampiran susur keluar Jalan Kuchai Lama di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, V.K. Sugumaran,46, maut di lokasi kejadian.

Turut terlibat sama, pemandu lori, Beh Poh Meng, 30, mengalami kecederaan di kaki manakala seorang lagi mangsa, Vincent Jason Lobo cedera di tangan dan leher.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa yang terselamat dibawa menerima rawatan di sebuah hospital di Subang Jaya dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Keadaan lori yang terbalik
SEORANG pemandu teksi maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Raya Mex berhampiran susur keluar Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN ONLINE/Ihsan Polis

Ujarnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan dipandu Vincent hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan sebelum berpusing.

“Akibat kejadian itu, kereta jenis Perodua Persona dipandu mangsa bertembung dengan teksi terlibat yang datang dari arah belakang.

“Berikutan perlanggaran tersebut, teksi terbabit berpusing sebelum melanggar sebuah lori yang berada di lorong tengah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN