PUTRAJAYA – Kira-kira 300 pemandu teksi berhimpun dan memberi tempoh 24 jam kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung perbincangan dengan Grab untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan perantara ke stesen Projek Transit Aliran Massa (MRT) di sini hari ini.
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, jika tiada sebarang jawapan yang diterima menjelang tempoh tersebut maka satu demonstrasi secara besar-besaran akan diadakan diseluruh negara bagi membantah cadangan tersebut.
“Kenapa Grab? Kenapa bukan 45 syarikat teksi milik Malaysia digabungkan sekali? Kalau Grab sahaja dibenarkan, apa akan jadi kepada pemandu teksi yang pagi sampai malam beratur guna meter di semua MRT dan LRT?
“Kita tidak boleh bercakap dengan Tony Pua atau yang lain. Kita kena bercakap dengan Guan Eng kerana isu ini dibangkitkan setiausaha politiknya. Kenapa setiausaha politik lebih berkuasa dari Guan Eng. Adakah dia mempunyai kuasa untuk bercakap mengenai semua perkara ini?,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum bantahan berkaitan perkara itu di Kompleks Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Shamsubahrin memberitahu, mereka memberi notis 24 jam untuk Menteri Kewangan berjumpa dengan pihaknya untuk menyelesaikan itu tersebut.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, Suhaili Ahmad
Hadir sama pada penyerahan memorandum tersebut Presiden Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia, Kamaruddin Mohd. Hussain.
Sebelum ini, Tony Pua membuat kenyataan bahawa tiada gantian mahupun pembatalan membabitkan kemudahan bas perantara sedia ada ke stesen MRT, namun, pihaknya kini bakal menawarkan perkhidmatan tambahan buat pengguna yang membabitkan Grab. – K! ONLINE











