Pemandu bas ekspres maut dalam kemalangan tiga kenderaan berat di Gerik - Utusan Malaysia

Pemandu bas ekspres maut dalam kemalangan tiga kenderaan berat di Gerik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK – Seorang pemandu bas ekspres maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori sebelum melanggar treler membawa muatan dawai besi di Kilometer 38.2 Jalan Raya Timur-Barat di sini awal pagi tadi. 

Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, mangsa, Mohd. Azizi Abdul Ghani, 37, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan awal mendapati bas yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan ke Jeli dari arah Gerik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiba di tempat kejadian, mangsa cuba memotong treler yang berada di hadapannya namun gagal sebelum merempuh sebuah lori membawa muatan habuk di laluan bertentangan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, bas yang melanggar bahagian hadapan kanan lori tersebut menghimpit pula treler yang berada di bahagian kirinya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online  sebentar tadi.

Tambah Ahmad Adnan, pemandu bas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat.

“Kelindan treler berusia 17 tahun pula mengalami kecederaan parah manakala pemandunya berusia 43 tahun pula hanya cedera ringan.

“Dua penumpang bas mengalami kecederaan ringan manakala 28 lagi penumpang lain serta pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Katanya, mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini