SEPANG 20 Okt. – Skuad hoki lelaki yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Belia (YOG) di Buenos Aires, Argentina baru-baru ini menyambut baik cadangan agar pasukan itu dikekalkan untuk menyertai Liga Hoki Malaysia musim depan.
Kapten Young Tigers, Amirul Hamizan Azahar menyifatkan, cadangan itu dilihat bagus sebagai persediaan mereka untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia Hoki Remaja 2020 tahun depan.
“Cadangan itu bagus, dan (pasukan) patut dikekalkan cuma terpulang kepada pemain. (Bagi saya) bagus dikekalkan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Young Tigers menyumbangkan emas kedua buat kontinjen negara dalam YOG selepas menundukkan India 4-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Parque Polideportivo Roca pada 15 Oktober lalu.
Lebih manis pencapaian mereka meraih emas buat kali pertama dalam sejarah penyertaan turut diiringi kejayaan Akhimullah Anuar Esook yang muncul penjaring terbanyak menerusi 22 gol.
Dalam pada itu, Akhimullah berkata, dia tiada masalah sekiranya dipanggil untuk memperkuatkan barisan Malaysian Tigers selepas namanya antara pemain yang dikaitkan tersenarai dalam kem latihan skuad kebangsaan.
“Kalau diberi peluang saya bersedia untuk berdepan cabaran. Jika belum, saya akan berusaha untuk mendapatkan tempat dalam skuad senior,” katanya.









