Peluncur udara maut - Utusan Malaysia

Peluncur udara maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 13 Okt. – Seorang peminat sukan lasak luncur udara maut selepas lima minit meluncur sebelum terjatuh ke dalam sungai berdekatan Dataran Dato Ali Yahaya di Kota Kuala Muda, Sungai Petani, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti berusia dalam lingkungan 30-an dijumpai orang ramai selepas dihanyutkan air sungai kira-kira satu kilometer dari tempatnya jatuh.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati mangsa menjalankan aktiviti rutin luncur udara bersama seorang lagi rakannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun selepas lima minit terbang, enjin paragliding yang digunakannya dipercayai mengalami masalah menyebabkannya jatuh ke sungai berhampiran.

“Orang ramai yang nampak kejadian tersebut cuba membantu namun hanya menjumpai mangsa kira-kira satu kilometer dari tempatnya jatuh akibat dibawa arus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Adzli, siasatan awal juga mendapati mangsa yang merupakan ahli persatuan paragliding berdaftar telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk terbang.

“Enjin paragliding mangsa akan dihantar ke agensi berkaitan untuk mengetahui punca masalahnya. Kes ini disiasat sebagai mati mengejut,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini