KUALA LUMPUR 12 Okt. – Malaysia berada di tangga kelapan negara paling banyak dilawati oleh pelancong China sewaktu Minggu Emas Hari Kebangsaan China pada awal bulan lalu.
Platform pembayaran digital, Alipay mendedahkan Malaysia buat kali kedua berjaya mengatasi kedudukan Australia, Amerika Syarikat (AS) dan destinasi teratas Eropah dalam tempoh sama.
Pengurus Besar Perniagaan Rentas Sempadan bagi Asia Tenggara dan Selatan Alipay, Cherry Huang berkata, Malaysia kekal sebagai satu daripada destinasi paling popular meskipun usaha Alipay baru-baru ini meneroka pasaran Eropah.
Katanya, Malaysia terus merekodkan jumlah urus niaga tertinggi sepanjang tempoh percutian itu yang menunjukkan bahawa pelancong China menghargai keupayaan untuk menggunakan Alipay apabila membuat pembayaran.
“Minggu Emas Hari Kebangsaan China disambut di antara 1 hingga 7 Oktober tahun ini dan kebanyakan pelancong China ke luar negara pada minggu itu.
“Pelancong China menghabiskan kira-kira RM817 seorang dalam tempoh itu, peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding tahun lalu menewaskan Singapura dan Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pertumbuhan jumlah urus niaga Alipay di Malaysia pada 2018 meningkat sebanyak 90 peratus berbanding tahun lepas.
Kedudukan nombor satu destinasi paling ramai dilawati oleh pelancong China pada minggu itu adalah Hong Kong diikuti oleh Thailand dan Jepun. Singapura di tempat ketujuh, di atas Malaysia.
Negara-negara lain yang mengatasi Malaysia ialah Korea Selatan, Macau dan Taiwan.
Sementara Australia (tempat kesembilan) dan AS (ke-10) berada di bawah Malaysia dalam senarai tersebut.










