Pelaksanaan DEB masih relevan - Utusan Malaysia

Pelaksanaan DEB masih relevan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan serta semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih relevan malah akan terus diperkasakan melalui dasar baharu yang lebih strategik dan bersesuaian dengan keperluan semasa, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd. Radzi Md. Jidin.

Beliau berkata, kerajaan juga berpendirian bahawa masih terdapat ruang yang boleh ditambah baik terutama melibatkan kepentingan bumiputera serta kaum lain di Malaysia supaya proses pelaksanaan DEB lebih telus dan bertanggungjawab.

“DEB memberi penekanan serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat bagi merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia, (yang) telah tamat pada 1990.

“Bagaimanapun, semangat DEB diteruskan di bawah dasar-dasar selepasnya, iaitu Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Wawasan Negara dan Model Baharu Ekonomi dalam usaha mencapai matlamat kesaksamaan sosioekonomi dan matlamat perpaduan negara,” katanya ketika menjawab soalan Awang Hashim (Pas-Pendang) semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mohd. Radzi menjawab soalan berkenaan DEB serta perancangan mikro dan makro untuk
menggerakkan ekonomi bumiputera.

“Sebagai kerajaan yang peduli rakyat, pengagihan ekonomi mestilah dilakukan secara adil kepada semua rakyat mengikut keperluan masing-masing.

“Dalam langkah kerajaan untuk meneliti semula dasar utama negara, pembangunan sosioekonomi bumiputera akan tetap menjadi agenda penting tanpa meminggirkan kaum lain di negara ini,” katanya.

Justeru itu, Mohd. Radzi berkata, usaha berkaitan akan diteruskan khususnya untuk membangunkan potensi bumiputera bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam ekonomi negara dan seterusnya mencapai matlamat pengagihan kekayaan yang lebih saksama.

Bagi perancangan mikro dan makro untuk menggerakkan ekonomi, beliau berkata ia akan diketengahkan pada sesi pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMK-11) oleh Perdana Menteri pada 4 petang, Khamis, 18 Oktober, 2018.

Beliau mengalu-alukan penglibatan ahli Dewan Rakyat dalam sesi perbahasan KSP RMK-11. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN