Pelajar ditahan disyaki terlibat keganasan di Perlis, guna taktik melancong - Utusan Malaysia

Pelajar ditahan disyaki terlibat keganasan di Perlis, guna taktik melancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 14 Okt. – Siasatan polis mendapati pelajar di sebuah institusi pengajian agama di negeri ini, yang ditahan polis baru-baru ini, kerana disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan didapati berselindung daripada aktiviti mereka itu dengan menggunakan visa pelancong.

Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, perkara itu yang menyebabkan pihak berkuasa di negeri ini tidak dapat mengesan latar belakang mereka yang terlibat, sejak daripada awal.

Menurut beliau, berikutan itu, polis selepas ini akan menjalankan tapisan ketat bagi setiap pelajar institusi agama yang memasuki negeri ini untuk menuntut ilmu menggunakan visa pelancong, pada masa depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Maka sebab itu, kita telah menghentikan sementara pengajian di institusi terbabit (disyaki terlibat keganasan) untuk menapis kesemua 119 orang pelajar asing dan 25 orang pelajar tempatan di situ, bermula esok.

“Kita difahamkan juga terdapat sejumlah pelajar asing yang kini sedang menunggu untuk memasuki pengajian di institusi terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri lawatan kerja Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman untuk meninjau status pembinaan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang baharu di Jalan Seriab di sini, hari ini.

Baru-baru ini, seramai lapan lelaki termasuk tujuh orang warga asing ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor, pada 24 September lalu.

Kesemua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis, sama ada sebagai pelajar, bekas pelajar atau bekas tenaga pengajar.

Menurut Noor Mushar, pihaknya dijangka mengambil masa antara seminggu hingga tiga minggu untuk menjalankan tapisan keseluruhan pelajar di institusi terlibat.

Katanya, polis juga akan menjalankan tapisan pelajar-pelajar di institusi agama lain.

“Kita memandang serius isu ini, malah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan PDRM supaya memastikan negeri ini bebas daripada elemen keganasan,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, seorang daripada pelajar yang ditahan itu telah meninggal dunia hari ini manakala tiga lagi cedera kerana terbabit dalam nahas jalan raya semasa dalam perjalanan dari Ibu pejabat Polis Bukit Aman ke negeri ini, baru-baru ini.

Mangsa yang meninggal dunia itu menerima rawatan di sebuah hospital di ibu negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini