Pekak tetapi jadi rujukan pelajar normal - Utusan Malaysia

Pekak tetapi jadi rujukan pelajar normal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 15 Okt. – Cacat pendengaran bukan petunjuk kekurangan sebagaimana dibuktikan gadis manis Nini Suriani Mazlan, 23, yang menjadi rujukan rakan-rakannya yang normal kerana kepandaiannya dalam bidang jahitan.

Nini Suriani yang berasal dari Kampung Pantai Cahaya Bulan merupakan salah seorang daripada 345 graduan yang menerima sijil pada Majlis Graduasi Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Kali Ke 13 di sini hari ini.

 Nini Suriani berkata, dia mengambil kursus jahitan selama 10 bulan bermula September tahun lalu di PPWK Chempaka di Pengkalan Chepa atas desakan ibu yang mahu dia menjadi seorang tukang jahit mahir.

 “Sebelum ini saya menuntut di Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru mengikuti program Sijil Kemahiran Rekaan Fesyen dan Pakaian selama dua tahun setengah.

 “Nampak seolah belajar perkara sama tetapi saya tidak rasa membazir masa kerana saya dapat banyak ilmu baharu malah menjadi lebih cekap,” katanya yang menjawab soalan pemberita dengan menulis atas kertas.

 Sementara itu, rakan baiknya, Izzati Nasuha Mohd Ramli, 25, berkata, walaupun Nini Suriani seorang OKU pendengaran namun dialah yang banyak membantu rakan lain untuk memahami arahan guru.

 “Cikgu terpaksa menggunakan bantuan pen dan kertas untuk mengajarnya tetapi Nini yang lebih cepat menangkap dan dapat menolong pula 20 pelajar normal yang lain dalam kelas.
 
 “Jahitan Nini juga lebih kemas dan dia menyiapkan tugasan dengan cepat,” katanya.

 Dalam pada itu, ibu Nini Suriani iaitu Wan Kamariah Wan Musa, 52, berkata, anak keenam dari 10 beradik itu hilang pendengaran pada usia enam bulan akibat demam panas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN