PATI bertempiaran lari - Utusan Malaysia

PATI bertempiaran lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 18 Okt. – Sekumpulan lelaki dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) bertempiaran lari dari sebuah pusat beli-belah di sini kerana menyangka premis berkenaan diserbu oleh Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun operasi bermula pukul 2.40 petang itu sebenarnya dilakukan Jabatan Kesihatan negeri bagi mengesan penjualan arak yang dibawa masuk ke dalam pasaran tempatan secara haram.

Ketua Bahagian Penguatkuasa , Jabatan Kesihatan Negeri, Ong Ang Guan berkata, anggotanya merampas sebanyak 59 tin arak pelbagai jenama di sebuah restoran dalam pusat beli-belah berkenaan.

Katanya, pemilik restoran yang menyajikan makanan dari Myanmar itu dipercayai melarikan diri.

“Dalam operasi di beberapa premis lain di sekitar Seberang Perai, kita turut merampas pelbagai jenis arak bernilai RM904 kerana tidak mempunyai amaran arak boleh membahayakan kesihatan selain tidak mematuhi peraturan bahasa,” katanya kepada pemberita ketika operasi itu.

Beliau memberitahu, operasi Pulau Pinang Sihat itu turut mengesan pemilik kilang makanan yang mengabaikan aspek kebersihan dan dua buah kilang di Juru dan sebuah di Berapit diarahkan ditutup selama dua minggu ekoran kesalahan itu.

Katanya, operasi berkenaan turut mengeluarkan 23 kompaun dengan nilai RM5,750 atas kesalahan merokok di tempat yang tidak dibenarkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN