JAKARTA 7 Okt. – Vokalis kumpulan Ungu, Pasha menjawab tuduhan liar pengguna Internet yang menyalahkan Timbalan Datuk Bandar Palu itu atas bencana berganda, gempa bumi dan tsunami yang menimpa bandar berkenaan selain menuduh pemberian bantuan dibuat secara tidak adil dan menyeluruh.
Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said pada masa sama meminta netizen agar tidak sembarangan memperkatakan keadaan di Palu ketika ini kerana ia hanya memburukkan lagi keadaan di bandar terbabit yang dakwanya sudah kembali tenang sejak bencana itu melanda lebih seminggu lalu.
“Ibu ini siapa? Saya peringatkan anda tidak sesuka hati bercakap.. bahasa ibu sangat memprovokasi masyarakat yang sudah mulai tenang. Ibu tidak dalam kapasiti untuk menilai kerja-kerja mahupun program pemerintah.
“Kalau tidak paham anda jangan banyak bicara, lebih baik doa agar bencana di Palu cepat selesai,” balas Pasha menjawab tuduhan seorang pengguna di akaun Instagramnya, yang dipetik portal Detik.com.
Malah Pasha pada masa sama menjawab tuduhan netizen yang mendakwa dia masih tidak menerima bantuan supaya menyatakan pusat tindakan bencana terdekat mereka atau berjumpa sendiri dengannya.
Katanya, dia akan memberikan bantuan selaras simpanan bantuan yang ada dan menghantar petugas ke tempat pusat tindakan bencana pengadu.
“Kalau ibu tidak datang saya akan anggap akaun ini palsu dan sengaja memprovokasi,” katanya.
Sejak bencana itu berlaku, Pasha dan isterinya, Adeliah Wilhelmina sering memberikan perkembangan terkini di Palu, malah Adeliah menolak permintaan suaminya yang memintanya kembali ke Bogor kerana ingin bersama Pasha membantu warga Palu.
Katanya, di sebalik cacian orang ramai, mereka tetap berjuang untuk masyarakat bahkan dia di beberapa tempat dimarahi segelintir orang yang menyalahkan penyanyi itu atas kejadian ini.
“Apa ini keinginan kami… tetapi ini sudah suratan takdir dari Allah. Kami tidak pergi dan kami di sini untuk kalian.. Saya juga punya anak-anak tetapi tak habis fikir untuk tinggalkan bandar Palu.
“Maafkan kekurangan kami, tapi kami berjuang sebaik mungkin dan tidak akan lari dan sama-sama berjuang dan tidak akan meninggalkan kalian,” katanya.









