P. Pinang tubuh jawatankuasa khas siasat tanah runtuh - Utusan Malaysia

P. Pinang tubuh jawatankuasa khas siasat tanah runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 24 Okt. – Laporan awal kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau di sini, mengesahkan tragedi itu berlaku disebabkan ketiadaan unsur-unsur pematuhan terhadap kaedah perjalanan projek di tapak pembinaan tersebut.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, laporan itu dite­rima daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebaik sahaja operasi mencari dan mengesan mangsa yang hilang akibat tragedi itu berakhir petang semalam.

Beliau berkata, selain laporan tersebut, pihaknya turut menerima satu laporan bertulis daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berhubung pemantauan yang dilakukan di tapak projek itu sebelum kejadian berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

Susulan kedua-dua laporan tersebut, katanya, kerajaan negeri bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat punca sebenar kejadian selain mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi yang berlaku pada Jumaat lalu itu.

“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman dan dianggotai beberapa individu lain termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari serta seorang jurutera dari pejabat Setiausaha Kerajaan Ne­geri (SUK) yang belum dinamakan.

“Selain itu, kita juga memutuskan untuk menjemput wakil dari Institut Kejuruteraan Malaysia menganggotai jawatankuasa ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tragedi Jumaat lalu itu me­ragut sembilan nyawa dan men­cederakan empat yang lain ketika operasi mencari dan mengesan mangsa yang masih hilang terpaksa dilanjutkan sehingga hari kelima semalam disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri memandang berat kejadian di Bukit Kukus itu dan telah mengarahkan semua agensi berkaitan mengkaji projek-­projek infrastruktur di negeri ini termasuk yang masih belum dilaksanakan bagi memastikan tragedi sama tidak berulang.

“Sektor swasta, pemaju-pemaju dan kontraktor-kontraktor pembinaan di negeri ini juga disaran melihat semula projek-projek yang sedang dibangunkan atau dirancang di Pulau Pinang agar piawaian yang tertinggi dapat dipatuhi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini