PUTRAJAYA 18 Okt. – Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood akan memendekkan tempoh perkhidmatannya sebagai timbalan pengerusi berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan
Menurut Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, turut terlibat ialah Ahli-Ahli Suruhanjaya iaitu Datuk Md. Yusop Mansur; Datuk Abdul Aziz Khalidin; Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong.
“Langkah ini selaras dengan Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun Ahli Suruhanjaya, Datuk Bala Singam Karupiah masih meneruskan perkhidmatan beliau.
“Keputusan pemendekkan tempoh perkhidmatan ini telah dicapai dan dipersetujui oleh mereka yang berkenaan dalam satu perbincangan yang telah diadakan pada Isnin lalu iaitu sebelum berita mengenai penubuhan tribunal khas disiarkan oleh pihak media, semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, surat bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tujuan pemendekkan perkhidmatan itu telah dikemukakan kepada pihak Istana Negara pada hari ini. – UTUSAN ONLINE










