Nolle prosequi kes Guan Eng - Utusan Malaysia

Nolle prosequi kes Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEWAKTU menghadiri persidangan mengenai undang-undang tanah di Shah Alam pada awal September lalu, seorang peserta di situ minta pendapat saya tentang keputusan Pendakwa Raya untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Secara spontan saya menjawab kuasa tidak meneruskan pendakwaan (atau menarik balik pertuduhan terhadap tertuduh) terletak dalam bidang kuasa mutlak Pendakwa Raya. Budi ­bicara mutlak Peguam Negara ini disebutkan dengan jelas dalam Perkara 145 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh, pada Oktober 1994, Pendakwa Raya, Tan Sri Mokhtar Abdullah menarik balik pendakwaan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik. Beliau menjelaskan, kes itu ditarik balik kerana pada pendapatnya tidak ada kes prima facie untuk meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh.

Walaupun keputusan beliau itu mengejutkan beberapa pihak (termasuk Ketua Wanita UMNO pada masa itu), dari sudut undang-undang tindakan beliau tidak boleh dipersoal atau dipertikai.

Mengenai kes Guan Eng, pada awalnya apa yang diketahui rakyat (menerusi ­berita di akhbar arus perdana dan media sosial) adalah bahawa keputusan menarik balik kes itu dibuat oleh Pendakwa Raya, Tommy Thomas sendiri. Maklumat awalan ini jelas tidak benar kerana pada 4 September, satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Bahagian Rayuan dan Bicara di Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria menjelaskan Peguam Negara tidak terlibat dalam keputusan itu (had no hand in the decision to enter nolle prosequi), malahan sejak awal lagi Peguam Negara itu telah menarik diri dalam terlibat dalam semua perkara dalam kes itu (has recused himself in all deliberations regarding the case”).

Mohamad Hanafiah juga menjelaskan sebab-sebabnya beliau memutuskan untuk menarik balik kes itu. Beliau berkata, dia akan gagal menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya jika meneruskan kes itu walaupun sedar kes itu akan akhirnya menemui kekalahan di mahkamah. Oleh itu, beliau mengambil keputusan menarik balik kes itu (to enter nolle prosequi) selaras dengan kehendak Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah.

Seterusnya beliau memaklumkan keputusannya itu kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Masri Mohd. Daud yang pada masa itu berada di Pulau Pinang. Walaupun beliau memohon kepada mahkamah untuk membuat perintah supaya tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan, mahkamah telah mengeluarkan perintah supaya tertuduh dibebaskan dan dilepaskan (acquitted and discharged).

Mahkamah mengeluarkan perintah ini atas permohonan peguambela pihak tertuduh memandangkan perintah itu selaras dengan kehendak Seksyen 254(3) Kanun Acara Jenayah. Keputusan mahkamah ini dibuat pada 3 September 2018.

Kenyataan Mohamad Hanafiah itu nampaknya tidak diterima oleh pengadu (dan saksi pertama pasukan pendakwaan) dan peguam­nya. Peguam pengadu mengeluarkan kenyataan balas sejurus selepas itu yang mana beliau menyatakan rasa kesalnya kes Guan Eng ini ditarik balik oleh pasukan pendakwaan. Peguam itu menyatakan pada 29 Ogos lalu, beliau mengutus surat kepada Jabatan Peguam Negara meminta kes ini dite­ruskan sehingga hakim bicara sendiri membuat keputusannya berasaskan merit kes ini. Malangnya, kata peguam itu lagi, Mohamad Hanafiah telah menerima representasi daripada peguam tertuduh dan menarik balik kes ini.

Dalam perenggan 12 suratnya itu, peguam itu me­nyatakan keputusan menarik balik kes Guan Eng itu tidak dibuat secara suci hati (nolle prosequi in this case was not made in good faith). Pasukan pendakwaan dalam kes ini sepatutnya memohon kes ini ditangguhkan supaya dapat menyusun strateginya lebih rapi, bukan untuk menarik balik kes ini, kata peguam itu. Dalam perenggan terakhir suratnya tersebut, peguam itu menggesa Peguam Negara memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Sebagaimana rakyat maklum, Peguam Negara tidak (belum) memfailkan apa-apa notis rayuan. Barangkali di­sebabkan ini, seorang peniaga di Pulau Pinang, Muhsin Abdul Latheef berasa terpanggil memohon semakan kehakiman keputusan mahkamah yang terdahulu.

Pada minggu lalu, Mah­kamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonannya atas alasan beliau tidak ada locus standi kerana tidak terlibat (bukan menjadi pihak) dalam kes itu.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menyatakan bahawa “Muhsin bukan tertuduh dan bukan pihak dalam prosi­ding, oleh itu dia tidak ada locus standi membuat permohonan ini”. Hakim menjelaskan hanya pihak-pihak yang terlibat dalam kes (iaitu tertuduh dan pendakwa) yang berhak membuat rayuan atau memohon semakan. “Setakat ini tidak ada rayuan yang difailkan oleh pasukan pendakwaan terhadap keputusan mahkamah” katanya lagi.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN