Pada minggu lalu, 200 wanita dan lelaki berketurunan India yang berusia 60 tahun dan ke atas sangat gembira apabila masing-masing dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.
Penantian mereka untuk bergelar warganegara tercapai biarpun pada usia warga emas.
Mengikut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin penganugerahan status warganegara itu adalah salah satu daripada manifesto Pakatan Harapan (PH). Rata-rata yang ditemui wartawan selepas majlis penyerahan sijil kerakyatan di Putrajaya tersenyum lebar sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia.
Bagaimana pula nasib bagi 55,000 pemohon lain. Difahamkan daripada jumlah tersebut angka tersebut turut melibatkan ramai pemohon bawah 18 tahun.
Bermacam alasan bagi mereka yang memohon taraf kewarganegaraan.
Antaranya, rakyat dari negara lain berhajat menjadi rakyat Malaysia dengan alasan sudah lama berada di negara ini atau berkahwin dengan rakyat Malaysia.
Namun begitu dalam banyak alasan tersebut, keadaan cukup menekan bagi pemohon yang dilahirkan di Malaysia tetapi mereka tidak diberi kewarganegaraan.
Lebih tertekan apabila dalam kalangan mereka tidak ‘dimiliki’ oleh mana-mana negara. Ibaratnya mereka ‘terkandas’ di tempat lahir sendiri.
Kes-kes permohonan seperti itu berpunca daripada pelbagai masalah dan antaranya individu berkenaan mungkin dilahirkan tanpa diketahui siapa ibu bapa mereka.
Ramai juga yang melibatkan anak pasangan warga asing yang dilahirkan di sini tetapi ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebarang dokumen oleh keluarganya. Ironinya ibu bapa yang tidak bertanggungjawab itu mewariskan permasalahan kewarganegaraan kepada anak-anak tersebut.
Begitulah antara senario dalam permohonan taraf warganegara di negara ini.
Malaysia dan mana-mana negara lain meletakkan anugerah kewarganegaraan sebagai sesuatu yang berharga. Justeru setiap pemohon akan disiasat latar belakang dan perlu melalui proses temu duga.
Tanpa menolak prosedur tersebut, kerajaan disarankan agar memberi perhatian kepada pemohon kewarganegaraan yang berusia di bawah 18 tahun. Ini kerana mereka tidak memiliki mana-mana kewarganegaraan walaupun menjalani kehidupan seperti rakyat Malaysia lain.
Golongan tersebut cukup terdesak untuk diterima sebagai warganegara seterusnya dibentuk menjadi insan berguna di negara ini. Sangat tidak adil bagi golongan tersebut untuk dinafikan hak kewarganegaraan mereka hanya kerana kesilapan ibu bapa individu berkenaan.
Dalam permasalahan tersebut, kerajaan juga harus melihat aspek kepincangan sosial yang tidak terbendung di negara ini sehingga lahirnya individu yang mewarisi masalah tiada kewarganegaraan. Limpahan warga asing dan hubungan tidak sah merupakan salah satu gejala sosial yang menyumbang kepada masalah anak-anak dilahirkan tanpa kewarganegaraan.
Jika aspek sosial tersebut tidak mampu diperbaiki, tahun demi tahun, kerajaan akan terus menerima lebih banyak permohonan bagi anak-anak yang tiada taraf kewarganegaraan.
Justeru, kerajaan dicadangkan segera mencari mekanisme yang lebih berkesan dalam menyelesaikan isu kewarganegaraan pemohon muda berbanding pemohon dari negara lain yang sudah memiliki kewarganegaraan.










