Nasi bukan penyebab diabetes, kegemukan - Utusan Malaysia

Nasi bukan penyebab diabetes, kegemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Masyarakat negara ini tidak harus bimbang untuk mengambil nasi sebagai makanan harian kerana ia bukan penyebab kepada penyakit diabetes dan kegemukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Padiberas Nasional Bhd. (Bernas), Ismail Mohamad Yusof berkata, makanan ruji rakyat Malaysia itu sering disalah anggap mengakibatkan orang ramai takut untuk menjadikan nasi sebagai hidangan.

Sedangkan, katanya, makanan berasaskan beras adalah baik untuk kesihatan dan harus dijadikan sebagai hidangan utama.

“Setiap seorang rakyat Malaysia secara purata mengambil kira-kira 88 kilogram beras setahun sekali gus menunjukkan bahawa nasi merupakan makanan utama di negara ini dan hidangan yang digemari oleh semua lapisan masyarakat.

“Namun sejak kebekalangan ini nasi sering disalah tafsir sebagai penyebab masalah kesihatan. Oleh itu, tujuan penganjuran Hari Beras Sedunia ini adalah untuk menyebarkan mesej positif bahawa beras baik untuk kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Hari Beras Sedunia di sini hari ini.

Majlis itu dianjurkan oleh Jasmine dan Tefal. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN