PUTRAJAYA 18 Okt. – Yayasan MyAqsa (MyAqsa) menjadi organisasi pertama di dunia yang memfailkan surat tuntutan dan pendakwaan terhadap Israel kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di atas kesalahan melanggar Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ketua Pegawai Eksekutif MyAqsa, Dr. Noorazman Mohd. Samsuddin berkata, kajian pihaknya mendapati Israel telah melanggar sekurang-kurangnya 28 perkara dalam resolusi berkenaan namun masih belum ada tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa sehingga mengakibatkan rakyat Palestin teraniaya tanpa pembelaan.
“Resolusi 2334 menyatakan bahawa penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967 termasuk Jerusalem Timur adalah satu pencerobohan yang tidak sah dan menyalahi undang-undang antarabangsa dan penyelesaian dua negara.
“Resolusi ini mengkehendaki Israel untuk menghentikan segera segala aktiviti haram yang tersebut di Wilayah Palestin termasuk di Jerusalem Timur dan Tebing Barat,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Pejabat MyAqsa di sini hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Dr. Ekrima Saeed Sabri dan turut dihadiri Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Beliau menjelaskan, Resolusi 2334 yang ditaja oleh Malaysia dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB pada 2016 mengikat semua anggota PBB termasuk Israel terhadap Perkara 49 Konvensyen Geneva Keempat yang melarang pemindahan besar-besaran penduduk awam ke kawasan dikuasai serta pengusiran penduduk asal.
“MyAqsa yakin bahawa pelanggaran Resolusi 2334 akan menimbulkan huru-hara dan ketidakstabilan keselamatan bukan hanya di Asia Barat malahan ke seluruh dunia. Kami menyeru seluruh pihak bermula dengan kerajaan Malaysia untuk bersama-sama kami membina satu platform yang kukuh untuk usah-usaha ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










