Murah, sedap faktor utama - Utusan Malaysia

Murah, sedap faktor utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Okt. – “MAKANAN yang dijual digerai tepi jalan bukan sahaja lebih murah, tetapi juga sedap berbanding restoran bergred.”

Itu antara alasan Rizduan Mahmod, 32, salah seorang pelanggan setia sebuah gerai tepi jalan di Desa Pandan di sini.

Sambil menolak dakwaan dia antara individu yang tidak peduli tentang aspek kebersihan, Ridzuan menegaskan bukan semua gerai tepi jalan kotor dan menjijikkan.

Katanya, sepanjang tempoh lima tahun me­ngunjungi gerai tepi jalan di situ dia tidak pernah jatuh sakit disebabkan keracunan makanan.

“Bukan semua pengusaha gerai tepi jalan mengabaikan aspek kebersihan sama ada dalam penyediaan makanan mahupun persekitaran,” ujar-nya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Desa Pandan, Jalan Chan Sow Lin dan Bandar Sri Permaisuri di sini mendapati hampir 80 peratus pengusaha gerai tidak mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Selain mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan, pengusaha juga didapati tidak peduli tentang kebersihan di persekitaran.

Tahap kebersihan bahagian belakang gerai benar-benar mengecewakan.

Selain longgokan sampah-sarap, turut didapati pinggan mangkuk yang tidak dicuci.

Memburukkan lagi keadaan apabila longkang di belakang gerai didapati tersumbat dan dipenuhi sisa makanan.

Hasil tinjauan turut mendapati layanan mesra pelanggan dan suasana santai turut menjadi faktor pelanggan memilih gerai tepi jalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN