KUALA LUMPUR – UMNO tetap menyokong kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti itu biarpun beliau dikatakan bakal berdepan beberapa dakwaan terlibat dalam kes penyelewengan dana sebuah yayasan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat MT parti yang diadakan di bangunan UMNO, PWTC, semalam memutuskan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.
“Kami bukan sahaja menerima beliau untuk terus menjadi presiden malah kami sokong beliau untuk terus memimpin.
“Bagi saya, ini adalah pendakwaan politik terpilih dan patut dihentikan…apa yang pasti sokongan padu anggota dan pimpinan parti tetap diletakkan kepada beliau,” katanya pada pemberita di Lobi Parliemen, hari ini.
Ahmad mengulas laporan media semalam yang menyebut kedudukan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO akan ditentukan dalam mesyuarat MT parti itu.
Menurut Ahmad, mesyuarat itu dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid, serta Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa.
Ahmad Zahid dilaporkan akan hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini untuk diambil keterangan buat kali keenam berhubung siasatan kes seleweng dana sebuah yayasan. – Bernama










