LONDON 16 Okt. – Persatuan Bola Sepak (FA) England hari ini mendakwa Jose Mourinho kerana kenyataan yang dikeluarkan ketika Manchester United mengalahkan Newcastle United 3-2 pada 6 Oktober lalu, dan dia berdepan risiko dilarang duduk di tepi padang sekiranya didapati bersalah.
Sejurus selepas tamat aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford itu, Mourinho dilihat berkata sesuatu di depan kamera sebagai melepaskan geram ekoran tekanan berterusan yang diterima sebelum perlawanan.
“Jose Mourinho didakwa kerana kenyataan yang dikeluarkan ketika perlawanan antara Manchester United menentang Newcastle pada 6 Oktober, 2018.
“Bahasa yang digunakan selepas perlawanan berakhir seperti yang disiarkan (televisyen), berbaur serangan dan/atau menghina dan/atau tidak wajar.
“Dia mempunyai tempoh sehingga pukul 6 petang, 19 Oktober untuk memberi respon terhadap pertuduhan,” kata jurucakap FA dalam satu kenyataan hari ini.
Perlawanan itu berlangsung tegang selepas United dipaksa bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum menumpaskan Newcastle.
Sejurus tamat permainan, pengurus kelahiran Portugal berusia 55 tahun itu yang menyifatkan dirinya sebagai ‘orang buruan’ media menunjukkan jari kelingking kanannya kepada kamera.
Ketika ditanya, apakah yang dimaksudkan dengan isyarat itu, Mourinho berkata: “Ini adalah jari. Ia lebih kecil daripada yang lain tetapi ia tetap jari”. – AGENSI










