MUMBAI 7 Okt. – Seorang pemandu bas di India digantung tugas kerana membenarkan seekor monyet ‘memandu’ kenderaan yang dipandunya selepas video mengenai insiden itu tular di media sosial.
BBC melaporkan, langkah itu diambil walaupun tidak ada seorang daripada 30 penumpang di dalam bas berkenaan membuat aduan tentang kelakuan pemandu tersebut dalam kejadian Isnin lalu di negeri Karnataka.
Bagaimanapun, apabila video yang dianggap santai merakamkan gelagat monyet itu memandu bas tular, syarikat bas berkenaan mengenakan tindakan ke atas pemandu tersebut.
Kata jurucakap syarikat, keselamatan penumpang tidak boleh dibahayakan dengan membenarkan seekor monyet memandu bas.
Namun agak mengejutkan, keputusan syarikat itu tidak disenangi kebanyakan pengguna media sosial.
“Agak comel, mengapa perlu digantung. Dia sepatutnya hanya diberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan itu,” kata pemilik akaun Twitter, Parag Heda.
Menurut saksi, monyet itu menaiki kenderaan terbabit bersama seorang penumpang namun enggan duduk di tempat duduk disediakan melainkan haiwan berkenaan hanya mahu duduk di bahagian hadapan bas.
Pemandu itu, M. Prakash seolah-olah tidak sedikit pun berasa bimbang lalu membenarkan kawan baharunya itu duduk di atas stereng semasa bas berkenaan meneruskan perjalanan sekitar kawasan Davanagere.
Walaupun monyet itu duduk pada bahagian stereng, Prakash dilihat masih memberi tumpuan pada pemanduan dengan memegang stereng berkenaan menggunakan sebelah tangannya ketika monyet itu terus memberi perhatian kepada trafik di hadapannya.
Menurut laporan media, sejurus monyet itu sampai ke destinasinya, haiwan berkenaan meninggalkan pemandu tersebut yang meneruskan kerja seperti biasa.











