PORT DICKSON 13 Okt. – Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Mohd. Isa Samad selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi pada pukul 11.30 pagi tadi.
Beliau yang hadir bersama empat anaknya, Mohd. Najib, 40; Megawati, 37; Lelawati, 34, dan Juhaida, 29, sebelum itu tiba di pekarangan sekolah tersebut pada pukul 11.15 pagi.
Mohd. Isa yang merupakan satu-satunya calon yang mengundi dalam PRK Parlimen Port Dickson turut meluangkan masa kira-kira 25 minit beramah mesra dengan para pengundi dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pusat pengundian di SK Linggi itu antara 32 pusat mengundi yang dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 68,317 berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka. – UTUSAN ONLINE










