KUALA LUMPUR 9 Okt. – Usaha sama Gamuda Berhad (Gamuda) dengan MMC Corporation Berhad (MMC) berkemungkinan akan menyertai semula proses tender bagi kerja-kerja bawah tanah projek Mass Transit Line 2 (MRT2) yang akan dibuat menerusi tender terbuka antarabangsa.
Menurut MIDF Research, sekiranya kedua-dua entiti berkenaan boleh mengurangkan kos pembinaan kerja bawah tanah, ia pastinya akan memberi hasil yang positif.
“Ini mengambil kira penglibatan awal syarikat kerjasama ini dalam projek tersebut dan juga kelebihan kos yang kompetitif yang dapat dicapai berbanding tawaran tender kepada pembida yang berpotensi oleh kontraktor lain.
“Oleh itu, kami tidak menolak kemungkinan Gamuda-MMC akan mengambil bahagian dalam proses tender ini jika persetujuan dicapai,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
Semalam, Gamuda dalam makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MMC Gamuda) yang merupakan syarikat usaha sama 50:50 antara Gamuda dan MMC tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi berhubung penamatan kontrak bawah tanah MRT2 oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. atau kerajaan.
Syarikat usahasama itu telah terlibat dalam perbincangan dan rundingan dengan Kementerian Kewangan sejak dua bulan lalu untuk mengkaji skop kerja dan spesifikasi projek dengan matlamat mencapai kompromi pengurangan kos.
Berikutan penamatan kontrak tersebut, ia dijangka mengakibatkan kehilangan kerja kepada lebih 20,000 tenaga pekerja terlibat dalam kerja-kerja bawah tanah daripada rantaian bekalan lebih 600 syarikat Malaysia. Daripada jumlah itu, lebih daripada 3,000 adalah kakitangan usaha sama MMC Gamuda dan lebih daripada 60 peratus adalah bumiputera.
Saham Gamuda dan MMC semalam menyusut lebih 15 peratus sehingga Bursa Malaysia menggantung urus niaga proprietari (PDT) dan aktiviti jualan singkat (IDSS) terhadap kedua-dua syarikat tersebut sebelum kembali memulakan urus niaga pagi tadi.
Setakat petang ini, saham Gamuda susut lima sen atau 2.06 peratus kepada RM2.380 sesaham manakala saham MMC pula meningkat tiga sen atau 2.65 peratus kepada RM1.160 sesaham.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, memandangkan kerja bawah tanah kini mencapai 39 peratus siap, proses penamatan dan tender semula akan menjadi lebih rumit dengan garis masa untuk proses tersebut akan ditentukan sebaik sahaja butiran disahkan.
Sementara itu, penganalisis Ambank Research, Joshua Ng berkata, syarikat korporat di Malaysia (termasuk Gamuda) mendapat satu pengajaran paling berguna, adalah penting untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan kerajaan di sebalik memaksimumkan keuntungan untuk pemegang saham.
“Ini termasuklah menyediakan perkhidmatan dan produk yang bagus kepada rakyat pada nilai harga terbaik. Walaupun, MMC Gamuda menyatakan bersedia untuk berbincang sekali lagi dengan Kementerian Kewangan kerana menyifatkan jurang kos yang terkini adalah jumlah yang tidak dapat dikawal, tetapi segala-galanya terpulang kepada kerajaan,” katanya.
Beliau bagaimanapun tetap berhati-hati dengan prospek sektor pembinaan memandangkan kerajaan mengurangkan pembangunan projek infrastruktur awam dalam usaha mencapai keseimbangan fiskal.











