KANGAR – Penemuan tiga mayat sekeluarga merangkumi bapa, ibu dan seorang anak perempuan yang dipercayai mati lemas di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat di Arau dekat sini menimbulkan misteri dan persoalan apabila seorang lagi mangsa yang dikatakan hilang bersama mereka selamat ditemui di sebuah lokasi di Sungai Petani, Kedah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan ringkas pagi ini.
“Maklumat terbaharu yang diterima, operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang telah hilang telah ditemui di Sungai Petani dalam keadaan selamat,” kata kenyataan itu.
Difahamkan, lelaki yang merupakan antara mangsa keempat yang dipercayai hilang dipercayai mati lemas iaitu Mohd. Zali Baharom, 37, ditemui di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Kosmo! Online melaporkan hari ini empat beranak dari Sungai Petani, Kedah dikhuatiri menemui ajal bersama apabila mati lemas di Sungai Arau, Arau dekat sini selepas kesemuanya dilaporkan hilang semalam.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, keempat-empat mangsa iaitu Baharom Ahmad, 66, dan isteri, Norman Pin, 64; serta dua anak mereka iaitu Norzalina, 35, ditemui lemas antara pukul 9 pagi dan 1 tengah hari sementara anak sulung, Mohd. Zali, 37, masih belum ditemui.Ujar Noor Mushar, pihaknya menemui dua mayat wanita iaitu Norma yang hanyut di Sungai Tambun Tulang dan Norazalina di dalam Sungai Arau.
“Mayat Baharom kemudian ditemui pukul 1 tengah hari di tali air Kampung Che Ok beberapa kilometer dari tempat anaknya ditemui. Anak lelaki sulungnya masih belum ditemui,” katanya dipetik.
Dalam perkembangan berkaitan, suspek yang merupakan anak sulung bagi keluarga malang itu akan dibawa ke Mahkamah Kangar hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan kes. – K! ONLINE










