LEBIH seminggu selepas kepulangan Datuk Lee Chong Wei ke tanah air setelah selesai rawatan kanser hidung tahap pertama di Taiwan, Ketua Jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek mengakui masih belum bersedia untuk bertemu anak didiknya itu.
Biarpun belum menjenguk pemain itu, Misbun berkata, beliau tetap berhubung dengan Chong Wei melalui telefon bagi mengetahui perkembangan pemain berkenaan.
“Kita faham, kalau dia jumpa saya… mungkin nanti keadaan bertukar menjadi emosi. Saya tak nak, kalau sudah beremosi, biasanya dia akan terharu dan lebih down. Jadi biarkan dia, saya mahu beri beliau ruang.
“Biasanya saya tengok Chong Wei ini, kalau dia betul-betul sudah sihat, dia lebih terbuka dan mudah didekati,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (BAM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Misbun merupakan individu penting dalam karier Chong Wei sebelum menjadi jaguh perseorangan negara.
Misbun merupakan jurulatih yang mengesan bakat pemain dari Pulau Pinang itu ketika berusia 17 tahun, sebelum dilentur sehingga bergelar pemain nombor satu dunia.
Justeru, mustahil beliau menjadi orang yang terakhir mengetahui tentang keadaan kesihatan Chong Wei yang menghidap kanser hidung tahap awal itu.
“Saya harap walau macam mana pun, sama ada dia mahu main (kembali ke gelanggang) atau tidak, saya harap dia cepat sembuh,” katanya. – Bernama










