Menyebar kasih sayang dengan 'air tangan' - Utusan Malaysia

Menyebar kasih sayang dengan ‘air tangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun sudah masuk dapur memasak sejak usia remaja, Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid, 56, tidak pernah mengikuti mana-mana kelas masakan apatah lagi mendapat pendidikan formal dalam bidang tersebut.

Kemahiran memasak semuanya dipelajari menerusi pengalaman, selain dipengaruhi ibunya.

Setiap kali melihat ibunya memasak, dialah yang paling sibuk membantu di dapur dan menunjukkan minat mempelajari pelbagai masakan tradisi.

“Umi sangat suka memasak, bukan sekadar untuk sekeluarga bahkan boleh untuk kenduri-kendara.

“Arwah bapa pula seorang yang cerewet tentang makan, jadi ibu perlu memastikan apa sahaja sajian yang dihidangkan kepadanya haruslah sedap.

“Mungkin bagi orang lain aktiviti memasak itu hanya rutin biasa, namun bagi saya yang membesar dalam persekitaran begitu, saya menganggap sebaliknya.

” Bagi saya makanan boleh menjadi penghubung yang erat kepada sesama manusia lebih-lebih lagi jika masakan yang disediakan itu dibuat dengan penuh kasih sayang dan ikhlas.

“Masakan yang enak sebenarnya dapat menyebarkan kasih sayang sesama insan dan mengeratkan lagi jalinan kemesraan. Itulah yang menjadi kepuasan kepada saya untuk terus masak sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui Mega Rona di kediamannya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyambung pengajian ke luar negara dalam bidang kewangan, menjadi titik tolak kepada Nisa dalam memupuk kemahiran memasak.

Di sana, mahu tidak mahu, beliau perlu masak sendiri kerana tidak biasa makan makanan dari luar, tambahan pula sentiasa berasa was-was terhadap kebersihan terutama dalam penyediaan.

Dari situ dia mula menguasai pelbagai masakan tradisi dan sering bereksperimen di dapur untuk menghasilkan juadah istimewa.

Minatnya terhadap dunia masakan semakin bertambah apabila mendirikan rumah tangga dengan suami, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Zinin, yang menjadi ‘peminat nombor satu’ masakannya khususnya asam pedas.

“Kalau saya masak asam pedas, beliau ibaratnya berada dalam dunia sendiri, siapa pun tidak boleh tegur kerana terlalu menikmati masakan tersebut.

“Malah, sibuk macam mana pun beliau akan balik untuk makan di rumah. Saya pula sentiasa meluangkan masa untuk menyediakan juadah walaupun sekadar satu lauk, kerana saya tahu air tangan isteri itu tiada tandingannya.

“Anak perempuan tunggal kami juga sama seperti saya. Dia amat gemar masak, mungkin kerana sudah biasa saya bawa ‘masuk’ dapur dari kecil lagi, biarpun sekarang dia memilih karier dalam bidang perundangan,” ujar nenek kepada seorang cucu itu.

Bagi Nisa, memasak dan berada di dapur merupakan detik paling indah yang membawanya kepada dimensi lebih mengujakan. Bauan dan bunyian ketika melakukan aktiviti itu baginya sungguh mengasyikkan.

Disebabkan itu juga beliau suka menjamu orang untuk menikmati air tangannya, terutama kenalan yang mengetahui kepakarannya dalam menghasilkan sajian seperti asam pedas, beriani Yemen, kari kepala ikan dan mi kari.

Keenakan masakan Nisa kemudiannya menjadi buah mulut dalam kalangan orang kenamaan dan selebriti termasuk kerabat diraja.

Kerana populariti yang diterimanya juga, beliau sering mendapat undangan memasak di luar negara seperti Singapura, Brunei, Dubai, dan Sepanyol, selain mempunyai slot masakan sendiri di televisyen menerusi program Nona, Selamat Pagi Malaysia, Nasi Lemak Kopi O, Malaysia Hari Ini, Primadona, dan sebagainya.

Dek minat dan keghairahan itulah yang membawanya ke bidang lebih mencabar dan berisiko. Bermula daripada perkongsian resipi menerusi buku masakan hingga menjadi pelbagai bentuk perniagaan seperti membuka kafe, menyediakan khidmat katering dan penghasilan pes masakan, yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa menerusi jenama Nisa Bakri.

Malah baru-baru ini, wanita ini mencipta sejarah peribadi apabila ‘mementaskan’ keunikan masakannya di kota fesyen, London sempena Minggu Fesyen London 2018.

Ujarnya, beliau tidak pernah mengimpikan memasak untuk masyarakat di sana, apatah lagi menyediakan katering kepada sejumlah tetamu dalam acara berprestij.

Namun, peluang yang datang di depan mata, tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Peluang bina jenama sendiri

Nisa melihat platform tersebut sebagai peluang keemasan untuk meneruskan penguasaan dan meraih pengiktirafan pada peringkat antarabangsa, seterusnya memajukan masakan Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

“Semuanya bermula selepas saya memenuhi undangan memasak di sebuah restoran milik cef berbintang Michelin di Sepanyol. Dia sangat kagum dengan keupayaan saya menyediakan juadah tradisi kita untuk 40 orang dan memanggil pihak media melihat sendiri persediaan memasak saya untuk siaran televisyen, Cooking Spain Channel News.

“Tanpa disangka program masakan tersebut tular di sana dan menarik perhatian penganjur Minggu Fesyen London ,yang mahu memberi peluang kepada saya menyediakan masakan Malaysia. Secara tidak langsung ia dapat mempromosikan negara serta jenama Nisa Bakri kepada tetamu.

“Saya diberi beberapa slot selama empat hari untuk menyediakan makanan buat orang kenamaan dan tetamu minggu fesyen. Ternyata pengalaman ini amat bermakna dan tidak mungkin boleh dilupakan,” katanya.

Nisa telah menyediakan lapan jenis sajian tradisi Malaysia yang disesuaikan dengan cita rasa di sana, iaitu bebola ayam bersama sos chutney yogurt pudina, laksa goreng asam pedas, canapes nasi lemak timun, salad kacang kuda dengan quinoa, dodol karamel, brownies, kuih makmur, dan tat nanas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN