Mengurus diri hadapi bencana - Utusan Malaysia

Mengurus diri hadapi bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJADIAN gempa bumi kuat yang disusuli dengan feno­mena tsunami yang melanda Palu dan Donggala, Indonesia baru-baru ini jelas menunjukkan bencana ini adalah salah satu bencana alam yang memberi kesan amat buruk kepada semua yang terlibat.

Di Malaysia, walaupun bencana ini tidak berlaku dalam skala yang besar, namun risikonya tetap tinggi. Apatah lagi kajian daripada pakar seismologi baru-baru ini menunjukkan bahawa terdapat kawasan-kawasan di negara ini yang termasuk dalam Lingkaran Api Pasifik terutama di daerah-daerah di Sabah.

Dari segi keselamatan, telah banyak garis panduan yang dibuat oleh agensi berwajib bagi memastikan masyarakat lebih bersedia untuk menghadapi bencana ini. Namun persediaan dan kesedaran masyarakat untuk mengurus diri ketika bencana amatlah rendah. Kita lebih bersedia untuk menghadapi bencana banjir berbanding dengan gempa bumi kerana banjir kerap berlaku di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dari segi persediaan teknologi pula, tidak semua kawasan pesisir pantai di negara ini dilengkapi de­ngan sistem amaran tsunami sedang­kan ia amat penting untuk dilaksanakan. Iktibar daripada gempa bumi di Palu, sistem amaran tsunami telah dihentikan terlalu awal kerana data yang diperoleh pihak Agensi Geofizik Indonesia (BMKG) tidak lengkap menyebabkan tindakan yang dibuat tidak tepat. Akibatnya, penduduk tidak membuat persediaan awal untuk menghadapi tsunami tersebut.

Gempa bumi berlaku dalam keadaan tidak dijangka. Kerjasama antara agensi bertanggungjawab dan masyarakat amat penting dalam menghadapi bencana ini. Salah satu perkara yang boleh dilakukan masyarakat ialah mengetahui cara-cara mengurus diri ketika bencana.

Bagi penduduk pesisir pantai risiko kesan gempa bumi adalah lebih tinggi berbanding kawasan yang jauh dari pantai kerana mereka berisiko dilanda fenomena tsunami. Jika berlakunya gegaran teruslah rebahkan diri dalam keadaan meniarap dengan kedua-dua tangan menutup kepala serta terus mencari tempat berlindung.

Anggarkan tempoh berlakunya gegaran tersebut dan sekiranya ia berlaku melebihi 20 saat maka risiko berlaku tsunami adalah tinggi. Justeru, cepat-cepat menuju ke kawasan yang tinggi dengan jarak sekurang-kurangnya tiga kilometer dari pantai manakala dari segi ketinggian pula, carilah kawasan tinggi sekurang-kurangnya 30 meter dari paras laut. Sebolehnya jangan menaiki kereta ketika menuju ke kawasan selamat bagi menge­lakkan kesesakan lalu lintas.

Jika berada di dalam bangunan, bawah meja adalah tempat berlindung paling selamat. Kekal berada di bawah meja dalam keadaan memegang meja tersebut sehingga gegaran berhenti. Jauhkan diri daripada berada di kawasan tingkap kerana kita ­lebih terdedah untuk terkena runtuhan sisa bangunan di kawasan berkenaan.

Jika kita mengetahui dan melaksanakan kaedah-kaedah me­ngurus diri seperti ini, nescaya jumlah kecederaan dan kehila­ngan nyawa dapat dikurangkan.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini