SELAMA sembilan tahun berturut-turut, program Start In Tioman (SIT) atau Bermula Di Tioman terus dilaksanakan yang sehingga kini berjaya mengumpul lebih 1,000 penyelaman skuba dari seluruh negara.
Program tersebut masih dapat bertahan sekian lama yang memperlihatkan bukan sahaja berjaya mengumpula sejumlah besar penyelam skuba, malah melahirkan bakat-bakat baharu dalam dunia skuba.
Sepanjang tempoh sembilan tahun itu juga, pelbagai konsep diperkenalkan dengan tema yang berlainan termasuk melibatkan aktiviti melabuhkan tukun untuk pembiakan karang, selain bergotong-royong bagi mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat.
SIT 2018 kali ini amat berbeza sekali dengan tema Sayangi Malaysiaku yang mana 131 peserta daripada lebih 150 peserta berjaya melakukan selaman skuba untuk mengundi di dasar laut berhadapan kawasan Damai Tioman Resort di Kampung Genting, Pulau Tioman.
Pengarah program SIT 2018, Syed Rizalman Syed Abu Bakar berkata, daripada kiraan undi yang diterima kesemua peserta menyokong supaya program SIT diteruskan termasuk disenarikan dalam atur cara program Tahun Melawat Malaysia 2020.
Menurutnya, dengan penyertaan yang begitu ramai dan telah dilaksanakan selama sembilan tahun berturut-turut, adalah bertepatan jika SIT turut disenaraikan dalam atur cara Tahun Melawat Malaysia.
“Program SIT ini bertujuan mengumpul seberapa ramai mungkin peminat-peminat selam skuba dari seluruh negara.
“Kita yakin SIT pada tahun hadapan dan juga 2020 bakal disertai peserta dari luar negara. Usaha sedang dibuat untuk memperkenalkan SIT ini ke negara-negara luar terutama sekitar Asia Tenggara,” katanya.
DalamSIT 2018, peserta yang menyrtai program ini melibatkan selaman skuba, aktiviti pendakian gunung, sesi ilmu mengenai alam sekitar dan pengenalan kepada peralatan selam skuba.
Syed Rizalman turut mengakui pihaknya terpaksa menolak penyertaan lewat disebabkan kuota yang ditetapkan sudah penuh.
“Menjadi harapan bahawa SIT tahun hadapan dan 2020 akan dapat menampung lebih ramai penyertaan memandangkan kita bakal menerima penyertaan daripada luar negara,” katanya.
Mengenai undian di dasar laut, beliau berkata, kiraan undi dilakukan dan disaksi oleh wakil-wakil berkecuali termasuk daripada Utusan Malaysia.
Langkah ini dibuat bagi membuktikan bahawa undian yang dibuat adalah berkecuali tanpa desakan atau pengaruh mana-mana pihak.
Jelas Syed Rizalman, keputusan jumlah undi itu membuktikan bahawa ramai kalangan penyelam skuba mahu SIT diteruskan kerana program tersebut dilihat mempu mengumpulkan setiap tahun sejumlah besar peserta selain diselitikan aktiviti pemuliharaan alam sekitar serta sentuhan kasih bersama penduduk setempat.
“Memang pada awalnya sasaran kita hanya 100 penyelam skuba sahaja yang mengundi tetapi ramai peserta lain mahu turut serta. Dan kita agak terkejut kerana mereka yang membuangan undi berjumlah 131 orang,’’ katanya.
Syed Rizalman berkata, dari keputusan mengundi itu, satu dokumen khas akan diserahkan kepada pihak kementerian berkenaan untuk dipertimbangkan agar SIT turut disenarikan dalam atur cara Tahun Melawat Malaysia 2020.










