SAUDARA PENGARANG,
Isu larangan operasi khalwat yang disiarkan sebuah akhbar beberapa hari lalu telah menjadi satu persoalan buat seluruh rakyat Malaysia.
Pada awalnya, ramai beranggapan operasi khalwat akan dihentikan. Peningkatan kes zina akan berlaku kerana kenyataan tersebut seumpama menggalakkan zina dalam kalangan masyarakat Islam.
Ramai pasangan Islam tidak akan gentar untuk melakukan maksiat sekiranya operasi khalwat dihentikan. Kegiatan tidak bermoral ini seterusnya akan menyumbang kepada isu pembuangan bayi yang masih belum ada noktahnya.
Namun, berita tersebut agak mengelirukan apabila akhbar berkenaan menyatakan tiada lagi penangkapan khalwat pada waktu malam. Sedangkan sumber iaitu Datuk Dr. Mujahid Yusof sendiri menyampaikan mesej yang berlainan. Media seharusnya tidak terburu-buru dalam memberi ulasan. Sebelum mengeluarkan kenyataan, media seharusnya merujuk kembali sumber berkenaan supaya tidak berlaku salah faham dan tokok tambah yang menjurus kepada fitnah.
Media perlu membuat kajian terhadap sesuatu isu dengan lebih teliti supaya rakyat tidak keliru dengan kenyataan yang disampaikan. Imej organisasi media bergantung kepada kualiti berita yang disampaikan. Kita sudah tahu, dunia kewartawanan terutamanya dalam bahagian akhbar kini semakin goyah dengan adanya kemudahan teknologi yang semakin canggih.
Disebabkan teknologi ini, wujud fenomena ‘citizen journalism’ di mana orang biasa yang tidak terlatih juga boleh menjadi wartawan. Jika media tidak peka dengan etika kewartawanan, apa yang membezakan media terlatih dengan orang biasa di luar sana?
SITI NUR SYAFIQAH SALIM
Lenggeng, Negeri Sembilan











