IPOH 30 Okt. – Pasukan Majlis Bandaraya Ipoh 2 (MBI2) muncul sebagai juara Liga Perdana Persatuan Bola Sepak Ipoh setelah menjinakkan Palma FC 3-0 dalam perlawananan akhir di Stadium Perak, baru-baru ini.
MBI2 bermula garang dengan ledakan dua gol menerusi jaringan Mohd. Ifdhal Hafiz Abd Jalil dan Muhammad Ikmal Abd Rahim sebelum menambah derita lawan dengan hasil tendangan Che Azerin Shah Che Zakaria pada babak kedua.
Dalam saingan musim ini, sebanyak 12 pasukan bertanding dan MBI2 merupakan satu-satunya pasukan yang tidak pernah tewas dalam kesemua 11 perlawanan.
Dengan rekod 10 kemenangan dan sekali seri, MBI mengumpul 31 mata keseluruhan mengatasi pasukan Majlis Perbandaran Taiping di tempat kedua dan Majlis Derah Batu Gajah di tangga ketiga.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan MBI2 membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 serta piala pusingan.
Hadiah disampaikan Naib Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Ipoh, Joharudin Johar Ali.
Sementara itu, ketua pasukan MBI2, Abdul Hafis Amran berkata, kejayaan yang dicapai merupakan hasil komitmen serta usaha berterusan semua pihak yang terlibat termasuk bahagian pengurusan dan pemain.
“Pencapaian ini juga merupakan satu kejayaan buat Majlis Bandaraya Ipoh dan para penyokong MBI 2 secara keseluruhan,” katanya.










