SHAH ALAM 4 Okt. – Kawasan lombong di Puchong yang menjadi lokasi kejadian enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia maut ketika operasi menyelamat malam semalam diarah tutup oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau telah mengarahkan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) menutup kawasan itu sebaik operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja yang hilang tamat.
Menurutnya, lombong itu sebenarnya kawasan tadahan air tetapi sering dijadikan orang awam sebagai tempat memancing.
“Saya dapat laporan ini bukan kejadian pertama (lemas di lombong) dan saya telah arahkan MPS tingkat kawalan keselamatan temasuk menutup kawasan itu.
“Penutupan akan dilakukan secepat mungkin sebaik operasi SAR selesai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 di sini hari ini.
Enam anggota PPDA itu maut selepas mereka dihanyut arus deras dan terperangkap di bawah kawasan terjunan air menyebabkan kesemuanye terbelit antara satu sama lain. – UTUSAN ONLINE











