Mayat dipercayai Amir Hamzah perlu menjalani ujian DNA - Utusan Malaysia

Mayat dipercayai Amir Hamzah perlu menjalani ujian DNA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 16 Okt.- Mayat ditemukan di kunci air Bukit Naga, Seksyen 32 di sini hari ini yang dipercayai pelajar institusi pengajian tinggi swasta, Amir Hamzah Mohd. Rozali perlu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terlebih dahulu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ujian DNA terhadap mayat itu perlu dijalankan berikutan keadaannya yang sukar untuk dikenal pasti.

Menurut Baharudin, mayat tersebut tiada identiti dan dipercayai telah meninggal dunia kira-kira empat hingga lima hari lalu.

“Setakat ini, proses bedah siasat yang dijalankan mendapati tiada unsur jenayah. Namun, kita difahamkan DNA ibu Amir Hamzah sudah diserahkan kepada pihak hospital untuk dijalankan padanan.

“Kita faham perasaan waris, tetapi beri peluang kepada pihak polis menjalankan siasatan. Kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi malam ini.

Terdahulu, Amir Hamzah, 22, dipercayai hilang sementara motosikal Yamaha Y15 miliknya ditemukan di lokasi kemalangan maut di Kilometer 14.5, Lebuh Raya Baharu Lembah Klang (NKVE) Jumaat lalu.

Kehilangan Amir Hamzah disedari abangnya, Mohamad Khairul ­Anuar selepas adiknya yang merupakan pelajar Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics di Taman Maluri di ibu negara gagal dihubungi sejak 12 Oktober lalu.

Namun, kira-kira pukul 12.17 tengah hari ini, satu mayat ditemukan oleh penjaga perangkap sampah dan pihak bomba menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Mohamad Khairul Anuar ketika ditemui berkata, dia sekeluarga sedih apabila hasrat adiknya untuk menghadiri majlis konvokesyen tidak kesampaian.

Jelas abang kedua arwah, adiknya itu sepatutnya tiba di rumahnya di Padang Jawa, namun tidak kelihatan.

“Saya cuba menghubungi rakan dan pensyarahnya serta pergi ke tempat konvokesyen, tetapi masih tidak menemukannya. Saya berasa tidak sedap hati dan ingin membuat laporan polis, tetapi dimaklumkan bahawa motosikal adik berada di tepi lebuh raya.

“Saya sekeluarga terus mencari adik di lokasi kemalangan dan menjumpai beg miliknya di bawah jambatan,” ujarnya.

Tambah Mohamad Khairul Anuar, mereka sekeluarga yakin mayat yang ditemukan milik adiknya berdasarkan baju dan parut yang terdapat pada badan walaupun mayat berubah fizikal.

“Namun, kami sekeluarga perlu menunggu keputusan DNA,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN