Mayat dijumpai ada parut di betis dan perut seperti Allahyarham Amir - Utusan Malaysia

Mayat dijumpai ada parut di betis dan perut seperti Allahyarham Amir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Mayat seorang lelaki yang ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian di Sungai Kandis di sini semalam diyakini Allahyarham Amir Hamzah Mohd. Rozali.

Abang Allahyarham, Mohamed Khairul Anwar, 27, berkata, ini susulan terdapat dua kesan parut pada mayat tersebut iaitu di bahagian betis sebelah kiri dan perut. 

“Parut di betis arwah adik saya disebabkan ekzos motosikal manakala di perut disebabkan minyak masak. 

“Kedua-dua parut itu diperoleh arwah semasa zaman kanak-kanak dan remaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini. 

Menurut Mohamed Khairul memberitahu, berdasarkan pakaian juga didapati merupakan pakaian terakhir dipakai oleh adiknya yang merupakan pelajar Diploma Pengurusan Aviation di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics di Kuala Lumpur..

Ujarnya, ini berikutan rakan-rakan arwah sempat ‘screenshot’ gambarnya pada aplikasi status WhatsApp. 

“Semasa kejadian, arwah dalam perjalanan ke rumah saya di Seksyen 17 di sini setelah bertolak pukul 9 malam pada Khamis lalu dari Lenggong, Perak. 

“Saya mengetahui kehilangan Amir selepas dihubungi polis mengenai penemuan motosikal jenis Yamaha Y15 dinaiki arwah di lokasi kemalangan maut di Kilometer 14.5 Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) pada awal pagi Jumaat lalu,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat memberikan sebarang kepastian sehingga mengetahui keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Ujian DNA akan diketahui dalam tiga atau empat hari lagi selepas mendapatkan DNA ibunya semalam,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN