KUALA LUMPUR 18 Okt. – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hari ini secara berseloroh menyuarakan hasrat untuk bertukar portfolio ke kementerian lain dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bercakap dalam sidang akhbar di Parlimen, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dalam nada bergurau berkata, selepas melakukan sesuatu di kementerian sekarang, beliau mahu membuat perubahan di tempat lain pula bagi penggal berikutnya.
Beliau memberi bayangan tersebut ketika diminta mengulas sama ada Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDPN) akan dikaji semula dalam tempoh lima tahun.
“Selepas lima tahun saya mungkin tak jadi Menteri Pendidikan lagi.
“Tapi kalau boleh nak pindah kementerian lain. Kita dah laksanakan sesuatu, kita reformasi di tempat lain pula,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat JKKDPN di bangunan Parlimen hari ini. – UTUSAN ONLINE










